Komposisi Nutrien Sarapan untuk Diabetes
Kandungan makronutrien dalam sarapan pagi merupakan pertimbangan penting dalam pelan makanan untuk penghidap diabetes. Dalam beberapa dekad yang lalu, makanan rendah lemak telah disyorkan bagi mengurangkan risiko kardiovaskular, iaitu komorbiditi yang kerap dikaitkan dengan diabetes jenis 2 (Type 2 Diabetes, T2D), dengan menurunkan paras kolesterol. Walau bagaimanapun, makanan rendah lemak ini biasanya mengakibatkan lemak diganti dengan karbohidrat, sebahagian besarnya dalam bentuk bijirin dan gula, yang membawa kepada ketidakstabilan glisemik.1 Sebaliknya, banyak kajian mengesahkan bahawa diet rendah karbohidrat dan sarapan tinggi protein untuk pesakit diabetes telah menunjukkan kawalan glisemik, tindakan insulin dan pelepasan inkretin yang lebih baik.2,3 Artikel ini akan membincangkan dengan lebih lanjut tentang prinsip sains di sebalik ramuan sarapan pagi untuk pengurusan diabetes.
Mengapa Komposisi Nutrien Penting?
Kandungan sarapan pagi adalah penting untuk mengekalkan kesejahteraan metabolik, khususnya bagi kawalan gula darah. Makanan tinggi karbohidrat dan rendah lemak akan mencetuskan lonjakan glukosa diikuti dengan penurunan glukosa secara mendadak.1 Sebaliknya, sarapan pagi yang tinggi protein dan rendah karbohidrat akan lebih mengenyangkan dan menyumbang kepada kawalan glisemik yang lebih baik sepanjang hari.2
Diet Rendah Karbohidrat untuk Diabetes: Kajian Klinikal
Untuk menilai peranan komposisi sarapan pagi dalam T2D secara klinikal, satu kajian terkawal dan terawak telah dijalankan oleh Oliveira et al. Kajian tersebut membandingkan hasil Sarapan Rendah Karbohidrat (Low-Carbohydrate, LC) dengan Sarapan Rendah Lemak (Low-Fat Breakfast, CTL) terhadap T2D dalam tempoh 12 minggu. Dalam kajian tersebut, pesakit telah dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua regimen:
Sarapan LC: 465 kcal, 8g karbohidrat, 25g protein, 37g lemak
Sarapan CTL: 450 kcal, 56g karbohidrat, 20g protein, 15g lemak2
Sorotan Penemuan Utama daripada Kajian Oliveira et al.
Kawalan Glisemik yang Lebih Baik:
Kajian ini menunjukkan kawalan glisemik yang lebih baik dalam kalangan individu yang mengambil sarapan LC berbanding mereka yang mengambil sarapan CTL. Paras hemoglobin A1C (HbA1c) berkurangan dengan lebih ketara dalam kumpulan LC (-0.3% berbanding -0.1%, p=0.06). Purata glukosa dalam kumpulan LC berkurangan sebanyak -0.7 mmol/L (95% CI: -1.4, -0.1 mmol/L, P=0.03), manakala tiada perubahan dalam kumpulan CTL.
Paras glukosa maksimum dalam kumpulan LC menunjukkan penurunan (-1.3 mmol/L, 95% CI: -2.3, -0.4 mmol/L, P=0.01) yang sangat ketara berbanding kumpulan CTL.
Kebolehubahan glisemik, yang dikira menggunakan MAGE, adalah lebih rendah dalam kumpulan LC (-0.8 mmol/L, 95% CI: -1.2, -0.3 mmol/L, P <0.01), menunjukkan kestabilan glukosa darah yang lebih baik. Peserta yang mengambil sarapan LC juga menghabiskan 77% lebih banyak masadalam julat glukosa ideal iaitu 3.9-10 mmol/L berbanding peserta dalam kumpulan CTL.2
Kawalan glukosa selepas makan yang lebih baik:
Sarapan LC menghalang lonjakan glisemik selepas makan, yang dibuktikan oleh bahagian di bawah lengkung glukosa (incremental area under the curve, iAUC) yang lebih rendah.2
Tindak Balas Hormon dan Metabolik yang Lebih Baik:
Paras glukosa selepas makan dalam kumpulan LC stabil disebabkan peningkatan paras GLP-1, dan penyekatan isyarat selera makan.2
Pematuhan Pelan Pemakanan yang Lebih Baik:
Peserta dalam kumpulan LC menunjukkan pematuhan yang lebih tinggi terhadap pelan pemakanan. Kumpulan LC menunjukkan pengambilan karbohidrat (-73 g; 95% CI: -101, -44 g; P <0.01) dan kalori yang lebih rendah (-242 kcal; 95% CI: -460, -24 kcal; P = 0.03).2
Sarapan Tinggi Protein
Protein adalah makronutrien utama dalam sarapan pagi untuk mengawal diabetes. Protein mempunyai tindakan proses metabolisme yang unik, yang membawa kepada tindak balas endokrin yang lebih sempurna, rasa kenyang yang lebih ketara dan paras glukosa darah yang lebih baik.3,4
Perbandingan antara Sarapan Tinggi Protein dengan Sarapan Tinggi Karbohidrat dalam T2D
Laporan oleh Park et al. membezakan antara kesan sarapan tinggi protein dengan sarapan tinggi karbohidrat terhadap paras glukosa, insulin dan hormon inkretin dalam tempoh lapan jam. Kajian tersebut juga menilai potensi sarapan tinggi protein dalam membantu badan bersiap sedia menambah baik kawalan glisemik pada waktu makan yang berikutnya, yang dikenali sebagai “kesan waktu makan kedua” (second-meal effect).3
Reka Bentuk Kajian Park et al.
Kajian ini melibatkan 12 individu penghidap T2D yang bersarapan setiap hari. Para peserta mengambil salah satu sarapan berikut selama enam hari:
Sarapan Tinggi Protein (PRO): 500 kcal, 35% Protein, 45% karbohidrat, 20% lemak
atau
Sarapan Tinggi Karbohidrat (CHO): 500 kcal, 15 g protein, 65 g karbohidrat, 20% lemak
Pada hari ketujuh, selepas berpuasa semalaman, peserta kajian makan satu sarapan khas dan empat jam kemudiannya, hidangan standard yang kaya dengan karbohidrat.3
Penemuan Utama daripada Kajian Park et al.
Bahagian di bawah lengkung (AUC) untuk paras glukosa selepas makan bagi kumpulan PRO adalah 16% lebih rendah berbanding kumpulan sajian CHO. Rajah 1 menunjukkan AUC Glukosa dalam kumpulan PRO berbanding kumpulan CHO diikuti dengan hidangan tengah hari biasa yang sama untuk kedua-dua kumpulan pesakit T2D.3
diikuti dengan hidangan tengah hari yang sama untuk kedua-dua kumpulan.3
Tindak Balas Insulin Selepas Sarapan:
Walaupun paras insulin puncak adalah lebih rendah dengan sarapan PRO, AUC insulin kekal setara antara kedua-duanya. Namun, sarapan PRO mempersiapkan sel β untuk memberikan tindak balas insulin yang lebih berkesan pada waktu makan berikutnya, yang dikenali sebagai “fenomena waktu makan kedua” dan akan diterangkan lebih lanjut dalam artikel ini.
Rajah 2 menunjukkan tindak balas AUC Insulin terhadap sarapan PRO atau sarapan CHO dan hidangan tengah hari biasa dalam T2D.3
Hormon Inkretin (GLP-1 dan GIP):
Rembesan GLP-1 adalah 27% lebih tinggi selepas sarapan PRO berbanding sarapan CHO. Pelepasan GLP-1 beransur ini menyumbang kepada kawalan glisemik yang lebih baik dan mengurangkan kebolehubahan glukosa. Rajah 3 menunjukkan tindak balas AUC GLP-1 terhadap sarapan PRO atau CHO dan hidangan tengah hari biasa dalam T2D.3
Paras GIP lebih tinggi selepas makan tengah hari. Ini menunjukkan tindak balas inkretin yang sedia bertindak bagi memudahkan kawalan glisemik yang lebih baik, walaupun pada waktu makan berikutnya. Rajah 4 di bawah menunjukkan tindak balas AUC GIP terhadap sarapan PRO atau CHO dan hidangan tengah hari biasa dalam T2D.3
Fenomena Waktu Makan Kedua
Sarapan pagi tinggi protein meningkatkan tindak balas insulin pada waktu makan kedua, seterusnya membantu mengurangkan lonjakan glukosa selepas makan tengah hari. Rajah 5 menggambarkan cara sarapan pagi tinggi protein membantu mengekalkan kawalan glisemik yang lebih baik sepanjang hari, sepertimana ditunjukkan oleh kejadian turun naik glukosa darah yang lebih rendah (garisan hijau) berbanding sarapan tinggi karbohidrat (garisan kelabu). Ini menyokong konsep “fenomena waktu makan kedua” yang mana pengambilan protein sewaktu sarapan berupaya menambah baik tindak balas gula darah pada waktu makan berikutnya.3
Sarapan pagi tinggi protein dapat menyumbang kepada kawalan glisemik yang lebih baik:
Sumber Protein Adalah Penting
Sumber protein menentukan sebanyak mana manfaat terhadap paras glukosa darah. Daripada semua jenis protein, whey atau dadih susu ideal kerana penyerapannya yang cepat, kandungan BCAA yang kaya dan keupayaannya untuk merangsang pelepasan insulin dan GLP-1. Berbanding protein lain seperti kasein, telur dan soya, dadih susu ternyata lebih baik untuk penjagaan T2D.4
Kesimpulan
Sarapan pagi untuk diet pesakit diabetes dapat membantu mengawal diabetes. Sarapan yang tinggi protein dan rendah karbohidrat mempunyai pelbagai manfaat penting, termasuk menurunkan paras glukosa selepas makan, meningkatkan kebolehubahan glisemik dan mempertingkat pelepasan hormon GLP-1. Perubahan kecil dalam komposisi sajian mampu memberi kesan besar dalam penjagaan pesakit diabetes.
Rujukan:
- Ludwig DS, et al. Am J Clin Nutr. 2023;118:849–51.
- Oliveira BF, et al. Am J Clin Nutr. 2023;118:209–17.
- Park YM, et al. J Nutr. 2015;145:452–8.
- Jakubowicz D, et al. J Nutr Biochem. 2017;49:1–7.
Sarapan pagi memainkan peranan bukan farmakologi dalam pengurusan diabetes jenis 2. Ia mempengaruhi kawalan glisemik, tindak balas insulin dan kesihatan metabolik secara keseluruhannya. Artikel ini meneroka cara komposisi sarapan pagi, terutamanya keseimbangan karbohidrat, protein dan lemak, mempengaruhi kawalan gula darah. Ia mengetengahkan hasil kajian-kajian terbaharu yang membandingkan kesan sarapan rendah karbohidrat dan tinggi protein dengan pilihan sarapan rendah lemak konvensional.