Apakah Nutrisi Kepersisan?
Nutrisi kepersisan ialah strategi pemakanan baharu yang mengambil kira ciri-ciri unik individu seperti diet, fenotip, genotip, biopenanda metabolik dan mikrobiota usus untuk nasihat pemakanan yang lebih bersasar. Ia dicadangkan sebagai pendekatan terapi pemakanan baharu yang mungkin lebih berkesan dalam diet diabetes dan dalam pencegahan obesiti. Nutrisi kepersisan bertujuan untuk menentukan diet paling sesuai bagi populasi pesakit yang khusus. Khususnya, dalam penjagaan diabetes, pemakanan ketepatan berhasrat untuk meningkatkan hasil dari segi kawalan glisemik yang lebih baik, pencegahan komplikasi serta peningkatan pematuhan kepada diet.1
Rajah 1 menggambarkan pendekatan nutrisi kepersisan. Ia menunjukkan cara data demografi, fenotip, gaya hidup, genetik dan omik kesemuanya diambil kira. Matlamatnya adalah untuk mengenal pasti perbezaan dalam respons terhadap syor pemakanan am dan seterusnya mengoptimumkan diet mengikut perbezaan yang dikesan dalam beberapa kumpulan yang berlainan.2

Walaupun pendekatan ini sering digunakan secara bersilih ganti dengan "pemakanan peribadi", nutrisi kepersisan merupakan konsep yang lebih luas. Nutrisi kepersisan membangunkan strategi pemakanan bagi populasi berdasarkan ciri molekul yang dikongsi, manakala pemakanan peribadi hanya digunakan pada peringkat individu. Sepertimana yang digambarkan dalam rajah 2, nutrisi kepersisan mengambil kira cara individu berinteraksi dengan makanan bagi meningkatkan pematuhan diet. Oleh itu, ia mengenal pasti individu-individu dengan ciri molekul yang serupa (Kumpulan 1, 2 dan 3) melalui pemprofilan genetik dan epigenetik. Di samping itu, data molekul boleh digabungkan dengan faktor persekitaran dan sosial untuk membezakan lagi kumpulan ini.1

Cabaran Diet Diabetes Jenis 2
Garis panduan pemakanan menekankan tentang penambahan pengambilan makanan asli—seperti buah-buahan, sayuran, bijirin penuh, kacang, kekacang dan makanan laut—sambil mengurangkan makanan proses dan ultra-proses. Walau bagaimanapun, respons individu terhadap cadangan ini sangat berbeza disebabkan faktor genetik, komposisi mikrobiota usus, faktor gaya hidup dan kesihatan metabolik.
Kajian PREDICT menekankan perbezaan ini dengan menunjukkan bahawa respons glukosa, insulin dan lemak selepas makan hidangan yang sama sangat berbeza dari seorang individu kepada individu lain, justeru ia mengukuhkan keperluan untuk strategi pemakanan yang diperibadikan. Selain perbezaan dalam respons pemakanan, mengekalkan penurunan berat badan juga tetap menjadi cabaran utama. Penyesuaian fisiologi, seperti penggunaan tenaga yang lebih rendah dan peningkatan selera makan berikutan penurunan berat badan pada peringkat awal, menyumbang kepada penambahan semula berat badan. Selain itu, faktor tingkah laku, termasuk kesukaran mematuhi perubahan diet jangka panjang, merumitkan lagi pengurusan berat badan. Cabaran-cabaran ini menyerlahkan keperluan untuk strategi yang bukan hanya mengehadkan pengambilan kalori.1
Mengapakah Nutrisi Kepersisan dalam Kalangan Pesakit Diabetes?
Diabetes merupakan penyakit heterogen dengan pelbagai etiologi dan respons terapeutik yang berbeza. Walaupun hiperglisemia merupakan gejala yang dikongsi bersama, etiologi diabetes jenis 2 (type 2 diabetes, T2D) berlainan. Sesetengah pesakit T2D mengalami rintangan insulin sekunder disebabkan obesiti; manakala yang lainnya mengalami rintangan insulin berat badan normal. Sebelum ini, diabetes melitus dikategorikan sebagai jenis 1 dan jenis 2 sahaja. Namun, penyelidikan baharu telah mengenal pasti kewujudan beberapa lagi subjenis yang berbeza.1
Pelbagai Jenis Diabetes
Lima subjenis diabetes berbeza telah dicadangkan berdasarkan ciri klinikal:
- Diabetes autoimun teruk merupakan diabetes jenis 1 atau diabetes autoimun laten pada orang dewasa.
- Diabetes kekurangan insulin teruk merupakan T2D yang teruk dengan prevalens retinopati yang lebih tinggi.
- Diabetes rintangan insulin teruk merupakan T2D yang teruk, yang dicirikan oleh peningkatan risiko penyakit buah pinggang.
- T2D obesiti ringan disebabkan keadiposan berlebihan.
- Diabetes ringan berkaitan usia bertindih dengan T2D dan lebih biasa dilihat pada warga tua.3
Heterogen Genetik dalam Kalangan Pesakit Diabetes
Bukti tambahan tentang ciri heterogen diabetes diperoleh melalui kajian genetik yang mengenal pasti corak faktor risiko poligenik di sebalik gangguan fungsi metabolik dan risiko komplikasi. Sebagai contoh, bekalan insulin yang tidak mencukupi disebabkan gangguan fungsi sel beta atau penghasilan proinsulin telah dikaitkan dengan risiko strok. Sebaliknya, status rintangan insulin yang membawa kepada obesiti atau ketaknormalan metabolik hati telah dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit arteri koronari dan gangguan fungsi hati. Disebabkan oleh kepelbagaian ini, objektif nutrisi kepersisan adalah untuk memperibadikan diet terapeutik untuk kumpulan pesakit tertentu bagi memaksimumkan manfaat. Walaupun pengurangan berat badan merupakan pencegahan dan rawatan utama untuk diabetes, hasil yang ditunjukkan oleh pesakit mencerminkan perbezaan yang besar disebabkan faktor persekitaran, molekul dan sosial.1
Bukti yang Menyokong Nutrisi Kepersisan dalam Diabetes
Beberapa kajian, termasuk POUNDS LOST dan PREDICT, mendedahkan perbezaan yang ketara dari aspek respons metabolik terhadap makanan, justeru mengukuhkan lagi peranan nutrisi kepersisan.
Kajian Klinikal Terawak POUNDS LOST
Kajian ini menilai kesan komposisi makronutrien ke atas metabolisme glukosa berdasarkan skor risiko genetik T2D. Hasil utama termasuk:
- Diet rendah protein (15% daripada jumlah keperluan tenaga) memberi manfaat kepada individu dengan skor risiko genetik yang lebih rendah, membawa kepada pengurangan paras insulin berpuasa, nilai HbA1c dan rintangan insulin yang lebih ketara.
- Diet tinggi lemak (40% daripada jumlah keperluan tenaga) memberi kesan buruk terhadap individu dengan skor risiko genetik yang tinggi, meningkatkan paras glukosa berpuasa dan rintangan insulin.4
Kajian Klinikal Terawak PREDICT
Kajian klinikal terawak PREDICT mendedahkan perbezaan yang ketara antara individu dari segi paras glukosa selepas makan dan respons insulin selepas makan hidangan yang sama. Penemuan ini mencabar rasional syor diet standard.2
Pemulihan Diabetes melalui Terapi Berkembar Digital
Dalam kajian pemerhatian dunia nyata, terapi nutrisi kepersisan telah membantu 82.1% peserta mencapai remisi diabetes dalam masa 90 hari. Pemulihan diabetes ditakrifkan sebagai nilai HbA1c <6.5% dalam tempoh sekurang-kurangnya 3 bulan selepas ubat kencing manis dihentikan.5
Satu kajian terhadap orang Latin Caribbean
Kajian ini mendapati bahawa Perilipin SNP (PLIN 11482G>A) mempengaruhi risiko obesiti berdasarkan pengambilan karbohidrat. Pengambilan karbohidrat kompleks yang lebih tinggi (≥144 g/hari) memberi kesan perlindungan terhadap obesiti. Sebaliknya, pengambilan karbohidrat kompleks yang lebih rendah (<144 g/hari) meningkatkan risiko obesiti.5
Alat Nutrisi Kepersisan
Faktor genetik, mikrobiota usus dan tingkah laku kesemuanya memainkan peranan penting dalam membentuk respons individu terhadap makanan, serta mempengaruhi metabolisme dan risiko kesihatan keseluruhan.2,4
Nutrigenetik
Penyelidikan nutrigenetik menunjukkan bahawa faktor risiko genetik tertentu dikaitkan dengan indeks jisim tubuh (body mass index, BMI) dan peratusan lemak badan yang lebih tinggi, dengan varian gen APOA1 dan APOC3 meningkatkan risiko metabolik terutamanya dalam kalangan individu yang mengambil diet tinggi lemak. Di samping itu, kajian PREDIMED mendapati bahawa diet Mediterranean berupaya mengurangkan risiko diabetes dengan ketara pada individu yang mempunyai varian genetik TCF7L2.2
Mikrobiom Usus
Mikrobiom usus juga mempengaruhi metabolisme nutrien dan kesihatan metabolik. Kajian menunjukkan individu yang mempunyai jumlah bakteria Prevotella copri yang lebih rendah memberikan respons yang lebih baik kepada diet Mediterranean, seterusnya mengurangkan risiko serangan jantung, manakala mikrob tertentu boleh memberi kesan negatif terhadap kawalan gula darah, terutamanya pada individu yang makan daging merah.1
Tingkah laku
Selain genetik dan kesihatan usus, tingkah laku adalah faktor utama dalam diet jangka panjang yang berjaya. Penemuan daripada Kajian Nutrigenomik Berat Badan Berlebihan/Obesiti dan Pengurusan Berat Badan (Nutrigenomics Overweight/Obesity and Weight Management Trial, NOW RCT) mencadangkan bahawa strategi pemakanan peribadi meningkatkan motivasi, membawa kepada pematuhan diet yang lebih baik dan pengurangan lemak yang mampan.2
Kesemua aspek ini menekankan keperluan pendekatan nutrisi kepersisan yang menyepadukan faktor genetik, mikrob dan tingkah laku bagi mengoptimumkan intervensi pemakanan.
Bagaimanakah Nutrisi Kepersisan Diamalkan?
Nutrisi kepersisan menggabungkan faktor genomik, gaya hidup dan penentu kesihatan dalam pelan diet pesakit. Rajah 3 meringkaskan cara nutrisi kepersisan berfungsi dalam diabetes. Model memaparkan tiga kumpulan hipotesis individu (ungu, kuning dan kelabu) beberapa tahun sebelum diabetes bermula. Data longitudinal, fenotip mendalam, persekitaran dan sosial yang dimasukkan ke dalam enjin ramalan mengkategorikan makanan sebagai ideal, neutral atau memudaratkan (hijau, kuning, merah). Sebagai contoh, individu dalam kumpulan ungu mungkin mendapat manfaat daripada lada benggala, manakala individu dalam kumpulan kelabu mungkin mendapat manfaat daripada daun salad.1

Apakah Langkah Seterusnya?
Mengenali Makanan yang Khusus untuk Pengurusan Diabetes.
Rujukan:
- Merino J, et al. Diabetologia. 2022;65(11):1839–48.
- Antwi J, et al. Curr Nutr Rep. 2023;12(4):679–94.
- Ahlqvist E, et al. Lancet Diabetes Endocrinol. 2018;6(5):361–9.
- Huang T, et al. Am J Clin Nutr. 2016;104(1):198–204.
- Smith CE, et al. J Nutr. 2008;138(10):1852–8
Nutrisi kepersisan dalam diet diabetes dapat membantu pakar penjagaan kesihatan merangka pelan diet individu berdasarkan faktor metabolik, genetik dan tingkah laku. Kajian mengenal pasti perbezaan yang besar dari segi respons terhadap makanan — ini bercanggah dengan rasional panduan pemakanan yang sama bagi semua pesakit. Ketahui lebih lanjut tentang pendekatan inovatif ini dalam pengurusan pemakanan pesakit diabetes.