Terapi bukan ubat yang berkesan dan praktikal adalah penting untuk menguruskan diabetes dengan berkesan. Antaranya, terapi pemakanan menjadi keutamaan. Antara kaedah yang berkesan untuk menguruskan diabetes melalui nutrisi adalah dengan menggunakan formula nutrisi khusus diabetes (diabetes-specific nutrition formula, DSNF).
DSNF dalam Nutrisi Diabetes Jenis 2
Pelan nutrisi diabetes boleh merangkumi pengganti makanan yang dibangunkan khas untuk pesakit diabetes. Formula khusus diabetes ini menawarkan gabungan makronutrien, karbohidrat kompleks dan mikronutrien yang optimum untuk menyokong kesihatan metabolik. Artikel ini membincangkan cara penyepaduan DSNF dalam pelan nutrisi untuk diabetes boleh menjadi penyelesaian mudah dan berkesan.1
International Diabetes Federation (IDF) menganggarkan terdapat 643 juta penghidap diabetes jenis 2 (type 2 diabetes, T2D) pada tahun 2030 dan angka ini akan meningkat kepada 783 juta menjelang tahun 2045.2 Trend peningkatan T2D ini disebabkan oleh gaya hidup yang tidak aktif, tabiat makan yang tidak sihat dan faktor keturunan. Paling membimbangkan, T2D berpotensi melonjakkan risiko penyakit kardiovaskular—penyebab utama kematian di seluruh dunia—dan membawa kepada komplikasi seperti nefropati, neuropati dan retinopati.2-5
Dengan trend menaik dalam prevalens T2D ini, mencari kaedah yang lebih baik bagi mengawal paras gula darah menjadi amat penting. Mari kita lihat cara DSNF mampu menawarkan penyelesaian yang lebih baik berbanding formula nutrisi standard.
DSNF berbanding Formula Nutrisi Standard
DSNF dirumus dengan mengambil kira keperluan pesakit diabetes. Ia mengandungi karbohidrat kompleks dengan indeks glisemik (glycemic index, GI) yang rendah, asid lemak mono tak tepu (monounsaturated fatty acid, MUFA) dan protein berkualiti tinggi. Di samping itu, DSNF mengandungi serat larut air dan mikronutrien penting seperti vitamin D, vitamin B6 dan zink.1
DSNF dalam Garis Panduan Nutrisi Diabetes
Kandungan nutrisi DSNF sejajar dengan garis panduan klinikal untuk diet diabetes. Garis panduan amalan klinikal, termasuk American Association of Clinical Endocrinology, American Diabetes Association (ADA), Diabetes Canada dan European Association for the Study of Diabetes (EASD) menekankan tentang pentingnya terapi nutrisi perubatan (medical nutrition therapy, MNT) dalam menangani T2D. Garis panduan ini mengesyorkan diet rendah GI yang tinggi serat (14g setiap 1000 kcal) dan kaya dengan MUFA.6,7 DSNF memenuhi syor yang ditetapkan untuk pesakit diabetes.
Pengambilan Protein dan Penyakit Buah Pinggang Kronik (CKD)
Protein merupakan makronutrien penting bagi pesakit T2D. Soalan yang sering ditanya ialah: Apakah pengambilan protein yang disyorkan untuk pesakit T2D dan CKD? ADA 2025 mencadangkan pengambilan protein yang sesuai berdasarkan status CKD individu.
-Untuk CKD tahap G3 dan ke atas yang tidak bergantung pada dialisis, pengambilan protein hendaklah dihadkan kepada 0.8 g/kg sehari, sama seperti keperluan populasi am.
-Bagaimanapun, bagi pesakit dialisis, jumlah protein yang lebih tinggi diperlukan, iaitu 1.0–1.2 g/kg/hari kerana dalam kes sebegitu, masalah besar ialah pembaziran tenaga protein (protein-energy wasting, PEW)8
Bukti Klinikal DSNF dalam Nutrisi Diabetes
Pertama, dari segi kawalan glisemik jangka pendek, kajian telah menunjukkan bahawa pengambilan DSNF yang dibahagikan kepada dua hidangan menambahbaik respons glukosa selepas makan (postprandial hyperglycemia, PPH).9 Kajian perbandingan selanjutnya menunjukkan bahawa DSNF adalah lebih baik berbanding makanan standard seperti oat, atau susu dan emping jagung, dari aspek PPH.10 Selain manfaat glisemik jangka pendek, DSNF memainkan peranan dalam mengawal hormon GLP-1 dan selera makan.11,12 Meta-analisis dan semakan sistematik mengesahkan bahawa DSNF mampu mengurangkan keperluan insulin serta menambah baik penanda metabolik seperti paras glukosa darah berpuasa dan nilai HbA1c .13,14 Di samping itu, dalam pelbagai kajian, DSNF juga ditoleransi dengan baik, dengan kesan buruk minimum. 1
Pelan Nutrisi untuk Diabetes Menggunakan DSNF
Bagaimanakah caranya untuk menggunakan DSNF dalam amalan praktikal?
Algoritma Nutrisi Diabetes Merentasi Budaya (Transcultural Diabetes Nutrition Algorithm, tDNA) menawarkan pendekatan berstruktur untuk menggunakan DSNF dalam penjagaan T2D berdasarkan ciri pesakit. Algoritma tersebut dibangunkan berdasarkan bukti klinikal dan konsensus pakar bagi mengoptimumkan penggunaan DSNF dalam pengurusan diet T2D.
tDNA:
Individu dengan berat badan berlebihan/Obesiti:
- 2–3 DSNF sehari sebagai pengganti makanan atau snek dalam pelan kalori terkawal.
- Matlamat kalori:
- <115 kg: 1200–1500 kalori/hari.
- 115 kg: 1500–1800 kalori/hari.
Individu dengan Berat Badan Normal:
- Untuk diabetes yang tidak terkawal (HbA1c > 7%): 1–2 DSNF sehari.
- Untuk diabetes yang terkawal (HbA1c < 7%): Gunakan DSNF mengikut keperluan berdasarkan penilaian klinikal.
Individu yang kurang berat badan:
- 1–3 DSNF sehari sebagai suplemen untuk menggalakkan penambahan berat badan.15
Kesimpulan
DSNF merupakan nutrisi berasaskan bukti untuk diabetes yang berupaya menyokong kawalan glisemik dan pengurusan berat badan. Pada masa sama, tDNA menawarkan panduan yang berkesan untuk menggunakan DSNF dalam penjagaan nutrisi peribadi, seterusnya membolehkan pakar kesihatan mencapai matlamat pesakit T2D.
Ketahui tentang Sains Di Sebalik Makanan Khusus Diabetes
Klik Di SiniRujukan
- Noronha J, et al. Front Endocrinol. 2022;13:874968.
- International Diabetes Federation. IDF Diabetes Atlas. 10th ed. Brussels, Belgium; 2021.
- Einarson TR, et al. Cardiovasc Diabetol. 2018;17(1):83.
- Townsend N, et al. Eur Heart J. 2015;36(40):2696–705.
- Mensah GA, et al. Cardiovasc J Afr. 2015;26(2 Suppl 1):S6–10.
- Sanz-Paris A, et al. Nutrition. 2017;41:58–67.
- Garber AJ, et al. Endocr Pract. 2020;26(1):107–39.
- American Diabetes Association Professional Practice Committee. Diabetes Care. 2025;48(Suppl 1):S239–51.
- Laksir H, et al. Clin Nutr. 2018;37(1):248–55.
- Gulati S, et al. Diabetes Metab Syndr. 2015;9(3):192–7.
- Angarita Dávila L, et al. Nutrients. 2019;11(7):1477.
- Mottalib A, et al. Nutrients. 2016;8(7):443.
- Elia M, et al. Diabetes Care. 2005;28(9):2267–79.
- Ojo O, et al. Nutrients. 2019;11(8):1905.
- Mechanick JI, et al. Curr Diabetes Rep. 2012;12(2):180–94.
Makanan diabetes khas dalam nutrisi diabetes merangkumi Formula Nutrisi Khusus Diabetes (DSNF) yang terbukti secara saintifik. DSNF menawarkan terapi diabetes berasaskan bukti bukan farmakologi dengan memberikan komposisi makronutrien yang seimbang, karbohidrat indeks glisemik rendah dan mikronutrien penting. Ketahui lebih lanjut tentang manfaat DSNF berbanding formula nutrisi standard.