Tanda Pemulihan Diabetes
Bolehkah diabetes jenis 2 diubati? Jawapannya ya. Diabetes jenis 2 (Type 2 diabetes, T2D) sudah lama dikenali sebagai penyakit kronik yang memerlukan rawatan sepanjang hayat. Namun, bukti baharu menunjukkan remisi boleh dicapai melalui terapi nutrisi dan penurunan berat badan berasaskan bukti. Salah satu tanda utama remisi diabetes ialah mencapai paras HbA1c di bawah 6.5% (<48 mmol/mol) selama sekurang-kurangnya tiga bulan tanpa penggunaan ubat antidiabetes.1 Beberapa kajian berikut menunjukkan bukti yang menyokong pencapaian remisi T2D.
Remisi Diabetes Berasaskan Bukti
Salah satu kajian paling berpengaruh yang mengkaji remisi diabetes melalui penurunan berat badan ialah Kajian DiRECT.
Kajian DiRECT (UK)
Kajian Klinikal Remisi Diabetes (Diabetes Remission Clinical Trial, DiRECT) dijalankan di Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Primer di Scotland dan Tyneside, England1. Untuk memahami kesan pengurangan berat badan terhadap remisi diabetes, kajian DiRECT merekrut peserta berumur 20-65 tahun yang menghidap T2D dengan BMI 27-45 kg/m².1
Reka Bentuk Kajian DiRECT:
Intervensi yang dilaksanakan adalah diet pengganti makanan sepenuhnya (825-853 kcal/hari) selama 3-5 bulan, diikuti dengan pengambilan semula makanan secara berstruktur dan pengekalan berat badan jangka panjang. Ubat antidiabetes dan ubat antihipertensi dihentikan sewaktu kajian bermula.1
Rajah 1 menggambarkan protokol lengkap kajian DiRECT.

Hasil Kajian DiRECT:
Hasil terpenting ialah 46% peserta daripada kumpulan intervensi mengalami remisi diabetes pada bulan ke-12, berbanding 4% peserta daripada kumpulan kawalan. Untuk hasil optimum, penurunan berat badan ≥15 kg dikaitkan dengan kadar remisi 86%. Pada masa yang sama, paras trigliserida dan tekanan darah juga berkurangan dengan ketara, yang dikaitkan dengan kesihatan kardiovaskular yang lebih baik. Rajah 2 menunjukkan keputusan kajian DiRECT UK tentang tentang kadar remisi diabetes dan paras HbA1c pada tahun 1.1

Susulan 5 Tahun Kajian DiRECT (UK)
Salah satu kebimbangan utama dalam mencapai remisi diabetes ialah kemampuan pesakit mengekalkan penurunan berat badan dan remisi selama beberapa tahun. Oleh itu, susulan 5 tahun kajian DiRECT menilai kemampanan jangka panjang penurunan berat badan, remisi dan kesan terhadap kesihatan.2
Temuan Utama Susulan 5 Tahun Kajian Direct:
Penurunan dan Pengekalan Berat Badan:
Tahun 1: Selama 12 bulan, 46% pesakit telah mencapai remisi diabetes dengan purata penurunan berat badan sebanyak 10 kg dalam kumpulan intervensi.
Tahun 2: 36% pesakit mencapai remisi
Tahun 5: 23% pesakit mencapai remisi selepas 5 tahun dengan purata penurunan berat badan sebanyak 8.9 kg dalam kalangan pesakit remisi.2
Rajah 3 menunjukkan bahawa pada tahun ke-5, 23% peserta daripada kumpulan intervensi telah berjaya mencapai dan mengekalkan remisi diabetes berbanding 3.4% peserta dalam kumpulan kawalan. Remisi yang mampan berkait rapat dengan pengekalan penurunan berat badan jangka panjang, dengan purata penurunan berat badan sebanyak 8.9 kg (8.8% daripada berat pada fasa permulaan) dalam kalangan peserta yang mencapai remisi.2

Pengurangan Ubat:
Peserta dalam kumpulan intervensi menghentikan ubat pengurangan glukosa sebanyak 62% dalam tempoh susulan berbanding hanya 30% untuk kumpulan kawalan.2
Kejadian Buruk:
- Kadar kejadian buruk dalam kumpulan intervensi adalah separuh daripada kadar dalam kumpulan kawalan.2
- Kesimpulannya, intervensi kawalan berat badan secara berstruktur membawa kepada remisi jangka panjang dan kawalan glisemik yang lebih baik, menunjukkan kebolehlaksanaan program yang serupa dalam penjagaan diabetes rutin.1,2
Kajian DiRECT-Aus (Australia)
Adakah keputusan yang serupa diperhatikan dalam sistem penjagaan kesihatan dan populasi yang berbeza? Kajian DiRECT-Aus mengadaptasi metodologi kajian DiRECT UK dalam Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Primer Australia.3
Reka Bentuk Kajian DiRECT (Australia):
- Peserta: Orang dewasa berumur 20–65 tahun yang menghidap T2D selama maksimum 6 tahun dan BMI >27 kg/m².
- Intervensi: Penggantian diet rendah tenaga (800-950 kcal/hari), diikuti dengan pengambilan semula makanan secara berstruktur dan fasa pengekalan berat badan.3
Hasil Kajian DiRECT (Australia):
- Penemuan daripada kajian DiRECT-Aus hampir sama dengan hasil kajian DiRECT UK, justeru mengukuhkan lagi keberkesanan program pengurusan berat badan secara berstruktur dalam populasi yang berbeza.
- 56% pesakit mencapai remisi, dengan 87% daripadanya yang berjaya menurunkan ≥15% berat badan. Purata penurunan berat badan pada bulan ke-12 ialah 8.1%, dengan pengurangan yang sepadan untuk saiz hati (35%) dan lemak viseral (24%). Kejayaan kajian DiRECT-Aus menegaskan kebolehgunaan program pengurangan berat badan secara berstruktur.3
Manfaat Metabolik Tambahan daripada Penurunan Berat Badan Selain Glisemik dan Hemoglobin A1c
Kajian DiRECT juga menunjukkan bacaan lipid darah yang bertambah baik, iaitu pengurangan tahap trigliserida dan peningkatan paras kolesterol HDL, yang dikaitkan dengan kesihatan jantung yang lebih baik. Di samping itu, penurunan tekanan darah sistolik dan diastolik yang ketara dikaitkan dengan penurunan risiko berkaitan darah tinggi. Kesimpulannya, kajian DiRECT membuktikan manfaat program pengurangan berat badan secara berstruktur yang tidak hanya terhad kepada penambahbaikan glukosa darah.1-3
Kesimpulan
Hasil kajian DiRECT menunjukkan bahawa program pengurangan berat badan secara terkawal membawa manfaat yang sangat ketara terhadap fungsi metabolik selain mengurangkan glisemia dan menambahbaik nilai HbA1c. Hakikatnya, pengurangan berat badan jangka panjang sebanyak 10-15 kg membawa kepada remisi diabetes yang berkekalan dan mengurangkan kebergantungan ubat. Untuk pakar kesihatan, ini bermakna mengubah perspektif rawatan diabetes daripada pengurusan ubat sepanjang hayat kepada pencapaian remisi sebagai matlamat yang realistik.1-3
Ketahui lebih lanjut tentang Sains di sebalik Makanan Khusus Diabetes.
Rujukan
- Lean ME, et al. Lancet. 2018;391:541-51.
- Lean ME, et al. Lancet Diabetes Endocrinol. 2024;12:233-46.
- Hocking SL, et al. Diabetes Care. 2024;47:66-70.
Bolehkah diabetes jenis 2 “diubati”? Jawapannya ya. Diabetes jenis 2 sudah lama dikenali sebagai penyakit kronik yang memerlukan rawatan sepanjang hayat. Namun, bukti baharu menunjukkan remisi boleh dicapai melalui pendekatan nutrisi dan penurunan berat badan berasaskan bukti. Ketahui lebih lanjut tentang hasil klinikal program pengurangan berat badan secara berstruktur berdasarkan kajian DiRECT dan DiRECT-Aus. Baca lebih lanjut di sini.