Peranan gaya hidup dan pemakanan dalam diabetes
Diet pengurangan berat badan dan program senaman fizikal merupakan intervensi gaya hidup intensif (intensive lifestyle intervention, ILI) yang berkesan dalam obesiti dan diabetes jenis 2 (type 2 diabetes, T2D). Sepertimana yang ditunjukkan dalam rajah 1, panduan klinikal semua organisasi utama seperti Diabetes Canada, American Diabetes Association, Obesity Canada dan European Society of Cardiology menegaskan bahawa gaya hidup dan pemakanan merupakan elemen asas dalam pengurusan diabetes.1-6

Pendidikan Pemakanan Diabetes
Bagaimanakah pendidikan diabetes sahaja dapat dibandingkan dengan ILI dari segi impak kesihatan pesakit T2D? Buat masa ini, dua kajian utama iaitu kajian Look AHEAD dan program Why WAIT telah memberikan pandangan yang amat berharga tentang cara ILI dan pendidikan diabetes memberi kesan terhadap penurunan berat badan mampan, kawalan glisemik mampan dan hasil kardiovaskular yang lebih baik dalam T2D.7-9 Artikel ini membentangkan cara untuk melakukan intervensi gaya hidup dalam amalan klinikal berdasarkan keputusan dua kajian utama itu.
Reka Bentuk Kajian
Reka Bentuk Kajian Look AHEAD (Action for Health in Diabetes)
Kajian ini menilai ILI berbanding sokongan dan pendidikan diabetes (diabetes support and education, DSE) pada 5,145 orang dewasa yang menghidap T2D dan mengalami berat badan berlebihan dan obesiti dengan BMI≥25 kg/m² (≥27 kg/m² bagi mereka yang menggunakan insulin). Peserta dimasukkan secara rawak ke dalam kumpulan ILI atau DSE. ILI fokus pada mengehadkan kalori (1,200–1,800 kcal/hari), penggantian makanan, senaman 175 minit seminggu dan strategi tingkah laku, dengan sesi sokongan individu dan berkumpulan yang kerap. Sebaliknya, DSE hanya menyediakan tiga sesi pendidikan berkumpulan tahunan tanpa strategi tingkah laku atau tunjuk ajar secara individu.7,8
Reka Bentuk Program Why WAIT (Weight Achievement and Intensive Treatment)
Program ini meliputi ILI pelbagai disiplin selama 12 minggu pada 590 orang dewasa penghidap diabetes jenis 1 atau 2 dengan BMI 30 hingga 45 kg/m². Program ini fokus pada sesi pendidikan berkumpulan untuk memberi bimbingan tentang perubahan gaya hidup, program diet peribadi berdasarkan pengurangan pengambilan kalori dan senaman. Perubahan kognitif-tingkah laku, termasuk sokongan psikologi, juga merupakan salah satu komponen penting.9
Penemuan Utama LOOK AHEAD & Why WAIT
Penemuan daripada kajian-kajian ini mengukur kesan klinikal diet pengurangan berat badan berstruktur dan program senaman fizikal dalam membantu pesakit mencapai matlamat pemulihan diabetes, iaitu pengurangan hemoglobin A1c (A1C) secara mampan.
PENURUNAN BERAT BADAN
Kajian Look AHEAD Selama 4 Tahun:
Sepertimana yang digambarkan dalam rajah 2, peserta ILI mengekalkan purata penurunan berat badan sebanyak 6.2% pada tahun ke-4 berbanding 0.9% dalam kumpulan DSE.7

Kajian Look AHEAD Selama 8 Tahun:
Penurunan berat badan stabil pada 4.7% dalam kumpulan ILI berbanding 2.1% dalam kumpulan DSE. 50.3% peserta ILI mencapai sekurang-kurangnya 5% penurunan berat badan pada tahun ke-8 berbanding 35.7% peserta DSE. 26.9% peserta ILI mengekalkan penurunan berat badan sebanyak 10% berbanding 17.2% dalam kumpulan DSE.8
Kajian Why WAIT:
Peserta mencapai purata pengurangan berat badan sebanyak 7.9% dalam tempoh 12 minggu. Kajian ini menunjukkan penurunan berat badan yang serupa dengan kajian Look AHEAD dalam tempoh yang lebih singkat. Rajah 3 menggambarkan perubahan berat badan selepas ILI 12 minggu berbanding nilai A1C fasa permulaan:9
Sepertimana yang ditunjukkan dalam rajah 3, peserta dalam program Why WAIT dibahagikan kepada tiga kumpulan berdasarkan nilai A1C fasa permulaan mereka:9
- Kumpulan A: A1C ≥9%
- Kumpulan B: A1C 8% hingga <9%
- Kumpulan C: A1C 6.5% hingga <8%

KAWALAN GLISEMIK
Kajian Look AHEAD Selama 4 Tahun:
Sepertimana yang ditunjukkan dalam rajah 4, peserta ILI mencapai pengurangan nilai A1C yang lebih besar (-0.36%) berbanding peserta DSE (0.09%).7

Kajian Look AHEAD Selama 8 Tahun:
Penambahbaikan nilai A1C kekal ketara.8
Kajian Why WAIT:
Kajian ini menunjukkan pengurangan nilai A1C sehingga 2.5%, dengan penambahbaikan lebih besar pada peserta yang mempunyai nilai A1C fasa permulaan lebih tinggi. Rajah 5 menunjukkan perubahan nilai A1C selepas ILI 12 minggu berbanding nilai A1C fasa permulaan:9

- Kumpulan A (A1C ≥ 9%): pengurangan 2.5%.
- Kumpulan B (A1C 8–<9%): pengurangan 1.2%.
- Kumpulan C (A1C ≥ 6.5–<8%): pengurangan 0.5%9
MANFAAT KARDIOVASKULAR DAN METABOLIK
Kajian Look AHEAD Selama 4 Tahun:
Peserta ILI mengalami penambahbaikan yang lebih besar dari aspek tekanan darah sistolik (-5.3 mmHg), HDL-C (+3.7 mg/dl) dan trigliserida (-25.6 mg/dl) berbanding peserta DSE.7 Rajah 6 menunjukkan perubahan paras kolesterol HDL:

Kajian Look AHEAD Selama 8 Tahun:
Penambahbaikan ini berterusan dengan sokongan gaya hidup yang berterusan.8
Kajian Why WAIT:
Kajian ini menunjukkan pengurangan jumlah kolesterol, trigliserida dan tekanan darah yang ketara, terutamanya pada peserta yang mempunyai nilai A1C fasa permulaan lebih tinggi.9
PERUBAHAN TINGKAH LAKU YANG MAMPAN
Dalam kajian Look AHEAD, peserta dalam kumpulan ILI melaporkan pematuhan yang lebih tinggi terhadap tingkah laku kawalan berat badan, termasuk:
- Peningkatan aktiviti fizikal (senaman intensiti sederhana melebihi 200 minit seminggu).
- Pengurangan pengambilan kalori dan lemak melalui pelan makan berstruktur.
- Pemantauan berat badan sendiri yang kerap (harian atau mingguan).7,8
Peserta yang mencapai penurunan berat badan ≥10% pada tahun ke-8 menunjukkan penglibatan yang lebih tinggi dalam tingkah laku ini berbanding peserta yang melaporkan penambahan semula berat badan.8
Apa Maksudnya untuk Pesakit Anda
Apabila pesakit bertanya, “Bolehkah diabetes sembuh melalui senaman?”, doktor boleh mengukuhkan lagi pentingnya intervensi gaya hidup berstruktur berasaskan bukti dengan penggunaan diet pengurangan berat badan diabetes dan juga senaman diabetes. Penemuan kajian Look AHEAD dan Why Wait menunjukkan bahawa ILI mampu menambah baik kesihatan metabolik pesakit diabetes dengan ketara.9
Ketahui lebih lanjut tentang Penggunaan Diet Rendah Karbohidrat untuk Mengawal Diabetes Jenis 2.
Rujukan:
- Sievenpiper JL, et al. Can J Diabetes. 2018;42(Suppl 1):S64–79.
- Anderson JT, et al. Can J Cardiol. 2016;pii:S0828-282X(16)30732-2.
- Wharton S, et al. CMAJ. 2020;192:E875–91.
- Grundy SM. Circulation. 2019;139:e1082–143.
- American Diabetes Association. Diabetes Care. 2020;43(Suppl 1):S48–65.
- ESC/EASD Task Force. Eur Heart J. 2020;41:255–323.
- Look AHEAD Research Group, Wing RR. Arch Intern Med. 2010;170:1566–75.
- Look AHEAD Research Group. Obesity (Silver Spring). 2014;22:5–13.
- Eldib A, et al. J Diabetes. 2023;15:532–8.
Bagaimanakah pendidikan pemakanan diabetes dengan intervensi gaya hidup intensif memberi kesan terhadap penemuan pesakit diabetes dalam dunia nyata? Bukti kukuh kini menyokong intervensi gaya hidup intensif yang merangkumi diet pengurangan berat badan dan senaman untuk diabetes. Ketahui lebih lanjut tentang penemuan kajian Look AHEAD (Action for Health in Diabetes) dan program Why WAIT (Weight Achievement and Intensive Treatment) yang membuktikan keberkesanan intervensi gaya hidup berstruktur dalam pengurusan diabetes.