Diet diabetes rendah karbohidrat terbukti berkesan dalam mengawal diabetes jenis 2. Diet sedemikian berupaya menurunkan paras hemoglobin A1c (HbA1c), meningkatkan sensitiviti insulin dan mengurangkan komplikasi diabetes. Di samping itu, formula nutrisi khusus diabetes (diabetes-specific nutrition formula, DSNF) boleh digunakan sebagai sebahagian daripada diet diabetes rendah karbohidrat. DSNF yang digunakan dalam diet diabetes rendah karbohidrat adalah berasaskan bukti . Ia boleh diambil sebagai pengganti makanan atau snek atau dimasukkan dalam diet sangat rendah kalori untuk penurunan berat badan. Untuk pesakit diabetes yang dimasukkan ke hospital, sokongan nutrisi enteral menggunakan DSNF dapat membantu mengekalkan keseimbangan glisemik. Untuk pesakit diabetes yang menghadapi masalah kekurangan zat makanan pula, suplemen hiperkalori menggunakan DSNF dapat membantu menguruskan keperluan tenaga dan nutrien tanpa menjejaskan paras glukosa darah.
Manfaat Diet Diabetes Rendah Karbohidrat
Pertama, mari kita lihat bukti klinikal yang menyokong penggunaan diet rendah karbohidrat dalam pemakanan pesakit diabetes jenis 2 (type 2 diabetes, T2D).
Dorans et al. Reka Bentuk Kajian Klinikal Terawak
Kajian klinikal terawak (randomized clinical trial, RCT) ini mengkaji kesan diet rendah karbohidrat terhadap berat badan, glukosa plasma semasa berpuasa dan HbA1c pada 150 orang dewasa yang tidak dirawat dan mempunyai paras HbA1C 6.0% hingga 6.9%.
Diet rendah karbohidrat dalam kajian ini terdiri daripada pelan makanan dua fasa:
Fasa 1 ialah “Go Low” (Rendahkan) dan dijalankan selama 3 bulan pertama dengan sasaran <40 g karbohidrat bersih/hari.
Fasa 2 ialah “Keep It Low” (Kekalkan Rendah) dan dijalankan selama 4-6 bulan seterusnya dengan sasaran <60 g karbohidrat bersih/hari.1
Dorans et al. Dapatan Utama RCT:
PenguranganHbA1c: Pada bulan ke-6, HbA1c mencatatkan pengurangan yang lebih besar dalam kumpulan yang mengambil diet rendah karbohidrat (-0.26%) berbanding kumpulan diet biasa (-0.04%).
Pengurangan Berat Badan: Kumpulan intervensi menunjukkan pengurangan berat badan yang ketara (-6.4kg) berbanding kumpulan kawalan (-0.5kg).
Bacaan Glukosa Plasma Puasa yang Lebih Baik: Paras glukosa plasma semasa berpuasa dalam kumpulan intervensi bertambah baik (-10.3 berbanding +1.9 dalam kumpulan kawalan).
Manfaat Metabolik: Kumpulan intervensi juga menunjukkan paras insulin berpuasa yang lebih rendah (-6.2 µIU/L berbanding +2.3 µIU/L dalam kumpulan kawalan), tahap rintangan insulin yang lebih rendah (HOMA-IR berkurangan sebanyak -2.4 berbanding +0.8 dalam kumpulan kawalan) dan ukur lilit pinggang yang lebih kecil (-5.2 cm berbanding -0.5 cm dalam kumpulan kawalan).1
Kedua, mari kita lihat manfaat penggunaan DSNF dalam diet diabetes rendah karbohidrat dengan lebih teliti.
DSNF Berasaskan Bukti dalam Diet Diabetes Rendah Karbohidrat
Kelebihan utama DSNF ialah keupayaannya menormalkan paras glukosa darah disebabkan indeks glisemiknya yang lebih rendah. DSNF juga kaya dengan kandungan nutrien yang terdiri daripada serat, asid lemak poli tak tepu dan mono tak tepu (MUFAs) serta protein berkualiti tinggi. Kelebihan ini disokong oleh pelbagai kajian klinikal yang menunjukkan potensi DSNF dalam mengurangkan paras glukosa selepas makan, nilai HbA1c dan kebolehubahan glisemik berbanding pemakanan standard.
Malah, DSNF sejajar dengan komposisi makronutrien yang disyorkan oleh American Diabetes Association (ADA). Rajah 1 menggambarkan betapa sejajarnya DNF dengan ADA. Komposisi karbohidrat, lemak dan protein dalam DSNF adalah masing-masing 37-55%, 30-45% dan 15-19%. Sebaliknya, diet yang dikenali ramai seperti diet Mediterranean, DASH, Atkins dan Ornish mempunyai komposisi 55%:27%:18%, 10%:60–70%:20–30%, dan 75%:7%:18%, dengan nisbah karbohidrat, lemak dan protein yang berbeza.2
Kesan positif tambahan yang dibawa oleh diet rendah karbohidrat dan DNSF
Metabolik
Penyakit kardiovaskular adalah komplikasi diabetes yang teruk, oleh itu kawalan paras lipid adalah penting. Keputusan kajian menunjukkan bahawa DSNF berupaya menambah baik profil lipid keseluruhan dengan menurunkan jumlah kolesterol, LDL-C dan tahap trigliserida.2
Tingkah laku
Diet rendah karbohidrat dilengkapi dengan penambahan pengambilan lemak dan protein sihat, yang menyekat selera makan dan menyebabkan rasa kenyang.1
Kawalan Berat Badan
Tisu adipos yang berlebihan menyumbang kepada penyakit diabetes dan kardiometabolik. Pengambilan kalori yang terkawal dalam DSNF memudahkan kawalan berat badan.2 Dengan cara yang serupa, pelan makanan rendah karbohidrat memudahkan pengurangan berat badan.1
Hormon dan Keradangan
Salah satu faktor yang membezakan sindrom metabolik dan diabetes ialah keradangan tahap rendah yang berlaku secara berterusan. Ramuan bioaktif dalam DSNF, termasuk polifenol dan asid lemak omega-3, mengubah-ubah laluan keradangan.2
Ekonomi
Penyepaduan DSNF dan diet rendah karbohidrat dalam strategi penjagaan diabetes membawa manfaat dari segi kos kepada sistem penjagaan kesihatan.1,2 Kajian menunjukkan bahawa kos kemasukan ke hospital, lawatan ke jabatan kecemasan dan penjagaan pesakit diabetes dapat dikurangkan hasil penggunaan DSNF.2
Jenis Karbohidrat Adalah Penting
Walaupun diet rendah karbohidrat penting, kualiti karbohidrat juga penting. Karbohidrat kompleks dengan indeks glisemik rendah (glycemic index, GI) paling bermanfaat bagi T2D kerana ia membebaskan glukosa secara perlahan dalam badan, yang membawa kepada paras glukosa darah yang lebih stabil.3 Rajah 2 membandingkan GI pelbagai jenis makanan dan juga paras glukosa darah selepas pengambilan pelbagai jenis karbohidrat.4-6
Karbohidrat kompleks dicerna dan dibebaskan sebagai glukosa ke dalam aliran darah dengan lebih perlahan berbanding gula ringkas, menyebabkan paras glukosa darah lebih stabil.
Tindak Balas Gula Darah terhadap Makanan yang Mengandungi Karbohidrat
Graf: Lengkung respons dos terhadap glukosa, roti mil penuh dan kacang dal
Graf ini menunjukkan seluruh bahagian di bawah lengkung glukosa (sebagai % daripada luas kawasan 50 g glukosa) yang mewakili respons terhadap pelbagai jumlah karbohidrat daripada glukosa, roti mil penuh dan kacang dal. Garisan glukosa menunjukkan kenaikan paling curam, menandakan respons gula darah yang tertinggi. Roti menghasilkan peningkatan sederhana manakala kacang dal menghasilkan respons glisemik yang paling rendah.
Kesimpulan
DSNF dan diet rendah karbohidrat kini dianggap sebagai penyelesaian berasaskan bukti untuk menambah baik kawalan glisemik, profil lipid dan berat badan pesakit diabetes. Penyepaduan diet ini dalam rawatan T2D berharga secara klinikal kerana ia mempunyai manfaat klinikal yang terbukti.
Ketahui Lebih Lanjut: Membuat Sarapan yang Seimbang untuk Diabetes.
Klik Di SiniRujukan
- Dorans KS, et al. JAMA Netw Open. 2022;5(10):e2238645. doi: 10.1001/jamanetworkopen.2022.38645.
- Mechanick JI, et al. Nutrients. 2020;12(12):3616. doi: 10.3390/nu12123616.
- Gulati S, et al. Diabetes Metab Syndr Clin Res Rev. 2015;9:252–7.
- Sheard NF, et al. Diabetes Care. 2004;27:2266–71.
- Carbohydrates: The great balancing act. News and Publications, University of Iowa Health Care website.
- Jenkins DJ, et al. Am J Clin Nutr. 1981;34:362–6
Dalam pemakanan diabetes jenis 2, diet diabetes rendah karbohidrat telah muncul sebagai strategi yang disyorkan. Sehubungan itu, formula nutrisi khusus diabetes (DSNF) dirumus dengan komposisi makronutrien yang dioptimumkan dengan mengambil kira strategi pemakanan diabetes terkini. Objektif penggunaan diet rendah karbohidrat dan juga DSNF adalah untuk menstabilkan paras glukosa darah dan meningkatkan sensitiviti insulin. Ketahui lebih lanjut tentang intervensi ini.