Diabetes Tidak Terdiagnosis
Diabetes merupakan masalah kesihatan yang semakin meningkat di seluruh dunia, namun sebilangan besar individu masih belum didiagnosis dan tidak dirawati. Statistik tahun 2021 menunjukkan bahawa hampir separuh (44.7%) daripada semua orang dewasa berumur 20–79 yang menghidap diabetes—iaitu kira-kira 239.7 juta orang—tidak didiagnosis. Dalam Rajah 1, rantau Asia Tenggara menunjukkan salah satu kadar diabetes tidak terdiagnosis tertinggi, iaitu sebanyak 51.3%, dengan Indonesia menyumbang paling banyak iaitu 14.3 juta kes.1

Risiko Tidak Terdiagnosis
Kadar prevalens yang tinggi untuk kes diabetes tidak terdiagnosis menunjukkan risiko kesihatan yang serius, terutamanya apabila ramai individu tidak menunjukkan sebarang gejala selama 5-6 tahun. Dengan kelewatan diagnosis, komplikasi serius seperti retinopati, nefropati dan penyakit arteri koronari boleh berlaku. Itu sebabnya pengesanan dan rawatan awal penting untuk mencegah komplikasi.1

Bagaimana Sistem Penjagaan Kesihatan Menangani Diabetes Tidak Terdiagnosis
Dengan lebih 50% kes diabetes tidak terdiagnosis di Asia Tenggara, ramai individu berpotensi mengalami komplikasi diabetes.1 Itu sebabnya meningkatkan diagnosis awal merupakan matlamat paling penting. Institusi kesihatan awam dan swasta serta pakar kesihatan bergantung pada pelbagai kaedah yang berbeza untuk melakukan diagnosis awal. Sebagai contoh, untuk mengenal pasti individu yang berisiko tinggi menghidap diabetes, program penyaringan bersasar dilaksanakan berdasarkan alatan WHO seperti FINRISK, ColDRISC dan AUSDRISK. Kaedah lain termasuk peranti kesihatan digital dan jarak jauh, seperti aplikasi kesihatan mudah alih, boleh meningkatkan pemantauan terhadap individu yang berisiko menghidap diabetes. Sementara itu, model ramalan AI turut dapat membantu mengenal pasti individu yang berisiko menghidap diabetes. Kesemua strategi ini memerlukan kerjasama kukuh dalam kalangan pelbagai organisasi tempatan dan antarabangsa (WHO dan IDF) untuk mencapai matlamat diagnosis awal, rawatan awal dan pencegahan komplikasi diabetes jenis 2.1
Menambah baik rawatan T2D juga amat penting untuk mencegah komplikasi. Pelbagai garis panduan antarabangsa mengesyorkan terapi nutrisi perubatan (medical nutrition therapy, MNT) untuk pengurusan diabetes jenis 2 (T2D) dengan berkesan. Antara pilihan MNT bukan farmakologi, formula khusus diabetes (diabetes-specific formula, DSF) telah muncul sebagai terapi berasaskan bukti.8
MNT: Garis Panduan Antarabangsa
Sepertimana yang ditunjukkan dalam Rajah 3, pelbagai garis panduan antarabangsa, termasuk American Diabetes Association (ADA) dan International Diabetes Federation (IDF), menekankan peranan MNT dalam T2D:9-12
| Organisasi | Cadangan |
|---|---|
| ADA Standard of Care (2024)9 | - Program terapi nutrisi perubatan yang disesuaikan mengikut keperluan individu disyorkan untuk semua individu yang menghidap diabetes jenis 1 atau jenis 2, pradiabetes dan diabetes gestasi - Menekankan sumber karbohidrat yang diproses secara minimum, padat nutrien, tinggi kandungan serat (sekurang-kurangnya 14 g serat bagi setiap 1,000 kcal). - Penggunaan pemanis tanpa zat sebagai pengganti produk bergula secara sederhana boleh diterima sekiranya ia mampu mengurangkan pengambilan kalori dan karbohidrat secara keseluruhan. |
| ADA/EASD Consensus (2018)10 | - Program terapi nutrisi perubatan yang disesuaikan mengikut keperluan individu perlu ditawarkan untuk pengurusan hiperglisemia. - Diet rendah karbohidrat, GI rendah, tinggi protein atau diet Mediterranean mungkin bermanfaat untuk meningkatkan kawalan glisemik. |
| Diabetes Canada (2018)11 | - Menggantikan karbohidrat GI tinggi dengan karbohidrat GI rendah membawa manfaat penting secara klinikal untuk kawalan glisemik pada penghidap T2DM. |
| IDF (2014)12 | - Diet yang mempunyai beban glisemik rendah bermanfaat untuk meningkatkan kawalan glisemik. - Strategi penting untuk mencapai kawalan glisemik yang optimum adalah dengan menyasarkan glukosa plasma selepas makan dan juga glukosa plasma semasa berpuasa. - Hiperglisemia Selepas Makan (Postprandial Hiperglisemia, PPH) yang dirawat dapat membantu mengurangkan tekanan oksidatif, keradangan, gangguan fungsi endotelium dan trombosis. - Pesakit diabetes seharusnya mempunyai paras HbA1c sasaran <7%. |
Rajah 3 Pengurusan Terkini untuk Hiperglisemia Selepas Makan (PPH)9-12
MNT: Semakan Sistematik dan Meta-Analisis
Hasil kajian klinikal terkini mengukuhkan lagi penggunaan MNT untuk pengurusan pesakit T2D. MNT, khususnya DSF, mengandungi tahap asid lemak mono tak tepu (monounsaturated fatty acid, MUFA) dan serat makanan yang lebih tinggi, dan kandungan karbohidrat yang lebih rendah.
Penemuan utama termasuk:
19 kajian klinikal terkawal dan terawak (randomized controlled trial, RCT), 3 kajian klinikal terkawal (controlled clinical trial, CCT) dan 1 kajian klinikal (clinical trial, CT) telah disemak secara sistematik untuk membandingkan DSF dengan formula standard. DSF menunjukkan bacaan glukosa selepas makan (PPH), kepekatan glukosa puncak dan AUC glukosa yang lebih rendah dengan ketara.13 Dalam satu meta-analisis yang melibatkan enam RCT, DSF didapati mampu mengurangkan paras glukosa selepas makan sebanyak 1.03 mmol/L berbanding formula standard. DSF juga menunjukkan pengurangan kepekatan glukosa puncak sebanyak 1.6 mmol/L, pengurangan AUC glukosa sebanyak 31-45% dan pengurangan keperluan insulin sebanyak 26-71%.3
MNT: Matlamat Pesakit T2D14
| Mencapai dan mengekalkan sasaran berat badan |
| Mencapai sasaran glisemik, tekanan darah dan lipid individu |
| Melambatkan atau mencegah komplikasi diabetes |
Rajah 4 2024 Matlamat Terapi Nutrisi untuk Semua Penghidap Diabetes14
Kesimpulan
Memulakan diagnosis dan rawatan awal adalah penting dalam pengurusan diabetes untuk kawalan glisemik dan juga pencegahan komplikasi jangka panjang. MNT dalam bentuk DSF telah terbukti sebagai terapi bukan farmakologi yang berkesan dalam penjagaan pesakit T2D.
APAKAH LANGKAH SETERUSNYA?
Ketahui lebih lanjut tentang Mengenali Makanan yang Khusus untuk Pengurusan Diabetes.
Rujukan:
- Ogurtsova K, et al. Diabetes Res Clin Pract. 2022;183:109118.
- Fong DS, et al. Diabetes Care. 2003;26(Suppl 1):S99–102.
- Hypertension in Diabetes Study Group. J Hypertens. 1993;11:309–17.
- Molitch ME, et al. Diabetes Care. 2003;26(Suppl 1):S94–8.
- Kannel WB, et al. Am Heart J. 1990;120:627–76.
- Gray RP, Yudkin JS. Textb Diabetes. 2nd ed. Blackwell Sciences; 1997.
- King’s Fund. Counting the cost. London: British Diabetic Association; 1996.
- Mayfield JA, et al. Diabetes Care. 2003;26(Suppl 1):S78–9.
- American Diabetes Association. Diabetes Care. 2024;47(Suppl 1):S1–4.
- Davies MJ, et al. Diabetes Care. 2018;41:2669–701.
- Diabetes Canada CPG Expert Committee. Can J Diabetes. 2018;42(Suppl 1):S1–325.
- Int Diabetes Fed Guideline Dev Group. Diabetes Res Clin Pract. 2014;103:256–68.
- Elia M, et al. Diabetes Care. 2005;28:2267–79.
- Diabetes Care. 2023;46(Suppl 1):S68–96.
Berdasarkan statistik International Diabetes Federation (IDF), hampir separuh daripada semua orang dewasa yang menghidap diabetes di seluruh dunia masih belum didiagnosis. Ini bersamaan dengan lebih kurang 239.7 juta orang yang tidak menyedari tentang penyakit mereka. Di Asia Tenggara khususnya, kadar diabetes yang tidak terdiagnosis melebihi 50%. Ketahui lebih lanjut tentang penyelesaian untuk masalah ini dan cara formula khusus diabetes dapat membantu pesakit anda mengawal glukosa darah mereka.