Kesihatan Jantung dalam Diabetes Jenis 2
Pesakit diabetes jenis 2 (type 2 diabetes, T2D) berisiko lebih tinggi untuk mengalami penyakit kardiovaskular (cardiovascular disease, CVD), termasuk penyakit jantung dan strok. Sepertimana ditunjukkan dalam rajah 1, kajian menganggarkan bahawa 80% pesakit T2D meninggal dunia akibat CVD.1,2 Hiperglisemia selepas makan (postprandial hyperglycemia, PPH), iaitu simptom diabetes yang paling awal, merupakan punca utama komplikasi jangka panjang seperti penyakit jantung dan strok.3 Selain itu, dislipidemia yang dicirikan oleh hipertrigliseridemia, paras kolesterol lipoprotein berketumpatan rendah (low-density lipoprotein, LDL) yang tinggi dan kolesterol lipoprotein berketumpatan tinggi (high-density lipoprotein, HDL) yang rendah, merupakan punca utama berlakunya aterosklerosis dan CVD. Pesakit T2D cenderung terhadap dislipidemia, menyebabkan mereka lebih berisiko untuk mengalami serangan jantung, strok dan komorbiditi kardiovaskular yang lain.4

Jantung yang Sihat dan Diet Diabetes
Protein dadih susu adalah sejenis makanan yang terbukti secara saintifik untuk individu yang menghidap diabetes dan kolesterol tinggi. Protein dadih susu telah dikaji secara meluas untuk memperbaiki glisemia dalam T2D. Kini, bukti baharu menunjukkan ia boleh menyumbang kepada kesihatan jantung, khususnya menguruskan dislipidemia, yang merupakan penyebab utama CVD. Artikel ini menghuraikan tentang semakan sistematik dan meta-analisis terhadap 22 kajian klinikal terkawal rawak (RCT) yang melibatkan lebih 1,100 peserta untuk mendokumenkan keberkesanan protein dadih susu dalam mengatasi dislipidemia dan mengurangkan risiko CVD.4
Makanan Berasaskan Bukti untuk Diabetes dan Dislipidemia
Rajah 2 menggambarkan manfaat berasaskan bukti protein dadih susu terhadap kesihatan jantung. Meta-analisis terhadap 22 RCT menunjukkan bahawa protein dadih susu merendahkan tahap lipid darah. Protein dadih susu membawa kepada penurunan nisbah kolesterol/HDL, jumlah kolesterol, LDL dan trigliserida pada pesakit sindrom metabolik, seterusnya mengurangkan risiko CVD.4,5

Protein Dadih Susu dan Profil Lipid: Semakan Sistematik dan Meta-Analisis
Kajian Amirani et al. tentang “Kesan protein dadih susu terhadap kawalan glisemik dan lipoprotein serum pada pesakit sindrom metabolik dan penyakit berkaitan” mengulas 22 RCT yang melibatkan lebih 1,100 peserta.4 Keputusan kajian tersebut mengesahkan manfaat protein dadih susu berikut untuk profil lipid darah:
Penemuan Utama Kajian Amirani et al. :
- Pengurangan tahap TG berdasarkan perbezaan purata berwajaran (weighted mean difference, WMD) sebanyak -17.1 mg/dL (95% CI: −26.5, −7.7).6-8
- Pengurangan jumlah tahap kolesterol diperhatikan, dengan WMD sebanyak -10.9 mg/dL (95% CI: −18.6, −3.2).7-10
- Pengurangan LDL-C, yang sering dirujuk sebagai “kolesterol jahat”, sebanyak -8.5 mg/dL (95% CI: −16.6, −0.4).7,9
- Pengurangan nisbah TC/HDL sebanyak -0.26 (95% CI: −0.41, −0.10).9-11
Mekanisme Tindakan Protein Dadih Susu
Mekanisme tindakan protein dadih digambarkan dalam rajah 3. Protein dadih susu merencat penyerapan kolesterol dan penghasilan lipid oleh hati. Asid amino rantai bercabang (branched chain amino acid, BCAA) dalam protein dadih susu boleh mengurangkan tahap trigliserida dan meningkatkan metabolisme lipid. Kesemua tindakan ini bersama-sama memainkan peranan dalam profil lipid yang lebih sihat.12-17

Mekanisme tindakan tambahan protein dadih susu:
Protein dadih susu juga bertindak secara tidak langsung menambahbaik metabolisme lipid dan kesihatan kardiovaskular. Ia meningkatkan sensitiviti insulin, melepaskan GLP-1, menyekat ghrelin dan mengatasi keradangan untuk mengurangkan risiko CVD. Protein dadih susu kaya dengan sisteina yang menghasilkan glutation, sejenis antioksidan yang berkesan untuk membantu melawan tekanan oksidatif dalam dislipidemia dan gangguan fungsi endotelium.4
Penggunaan Protein Dadih Susu dalam Amalan Praktikal
Bukti menyokong penggunaan protein dadih susu dalam diet pesakit T2D untuk menguruskan risiko CVD. Bagi individu yang berisiko tinggi untuk obesiti atau yang mengalami pradiabetes, protein dadih susu boleh dimasukkan dalam program pencegahan penyakit.4
Apakah Langkah Seterusnya?
Peranan Suplemen, seperti Protein Dadih Susu, dalam Pengurusan Diabetes
Rujukan:
- Institute for Public Health. National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023: Non-communicable Diseases and Healthcare Demand — Key Findings. 2024.
- Sowers JR, et al. Hypertension. 2001;37(5):1053–9.
- Mignone LE, et al. World J Diabetes. 2015;6(14):1274–84.
- Amirani E, et al. Lipids Health Dis. 2020;19:209.
- Wang N, et al. Circ Cardiovasc Qual Outcomes. 2022;15(6):e008552.
- Mohammadi-Sartang M, et al. Nutr Metab Cardiovasc Dis. 2018;28(6):565–74.
- Tovar J, et al. Nutr Metab (Lond). 2012;9:29.
- Fekete AA, et al. Am J Clin Nutr. 2016;104(6):1534–44.
- Tovar J, et al. Eur J Nutr. 2016;55(6):2295–303.
- Denysschen CA, et al. J Int Soc Sports Nutr. 2009;6:8.
- Kemmler W, et al. BMC Geriatr. 2018;18:70.
- Pal S, et al. Obesity (Silver Spring). 2010;18(7):1354–9.
- Graf S, et al. Curr Opin Clin Nutr Metab Care. 2011;14(6):569–80.
- Ohlsson L, et al. Am J Clin Nutr. 2010;91(3):672–8.
- Sawyer L, et al. Biochim Biophys Acta. 2000;1482(1–2):136–48.
- Reimer RA, et al. Nutrition. 2009;25(3):340–9.
- Mortensen LS, et al. Eur J Clin Nutr. 2012;66(7):799–805.
Protein dadih susu dikenali ramai sebagai suplemen bukan farmakologi untuk mengawal paras gula darah, tetapi tahukah anda tentang peranannya dalam diet diabetes yang menyihatkan jantung? Artikel ini menghuraikan tentang penemuan daripada 22 kajian klinikal terkawal rawak yang melibatkan lebih 1,100 peserta, dan menyerlahkan cara protein dadih susu dapat memberi manfaat terhadap profil lipid dan kesihatan jantung keseluruhan.