Sarapan untuk Pesakit Diabetes
Sarapan memainkan peranan penting untuk pesakit diabetes. Ramai orang tidak mengambil sarapan pada masa kini, namun bagi pesakit diabetes, tabiat ini boleh membawa akibat yang serius. Jadi, mengapakah sarapan penting? Dalam satu kajian inovatif pada tahun 2015, Jakubowicz et al. mengkaji kesan tidak mengambil sarapan terhadap paras glukosa dan insulin harian.1
Reka Bentuk Kajian Jakubowicz et al.:
Kajian ini mendaftarkan 22 orang peserta yang menghidap diabetes jenis 2 (type 2 diabetes, T2D). Ujian dijalankan pada dua hari yang berbeza:
- Satu hari makan tiga hidangan berstruktur (sarapan, makan tengah hari dan makan malam).
- Satu hari tidak mengambil sarapan tetapi mengambil makan tengah hari dan makan malam seperti biasa.
Penanda metabolik utama diukur selepas makan tengah hari dan makan malam pada kedua-dua hari tersebut.1
Penemuan Utama:
Rajah 1 berikut menunjukkan graf sepanjang hari yang membandingkan (A) glukosa, (B) insulin, (C) C-peptida, (D) iGLP-1, (E) FFA dan (F) glukagon antara dua kumpulan, iaitu YesB (kumpulan yang bersarapan) dan NoB (kumpulan yang tidak bersarapan). *P < 0.0001.1
Tidak Bersarapan Mengakibatkan Lonjakan Gula Darah:
Rajah 1 (A) membandingkan paras glukosa antara kumpulan YesB dengan NoB. Kumpulan yang tidak bersarapan menunjukkan peningkatan paras glukosa sebanyak 36.8% selepas makan tengah hari dan peningkatan sebanyak 26.6% selepas makan malam. Puncak gula darah juga lebih tinggi dan lebih lama. Ini menunjukkan bahawa dalam kumpulan yang tidak bersarapan, badan menghadapi kesukaran untuk mengawal paras glukosa sepanjang hari.1
Tidak Bersarapan Mengakibatkan Penurunan Sensitiviti Insulin:
Rajah 1 (B) membandingkan insulin antara kumpulan YesB dengan NoB. Pelepasan insulin tertangguh dan terencat sebanyak 17% selepas makan tengah hari dan 7.9% selepas makan malam.1
Tidak Bersarapan Menjejaskan Tahap GLP-1
Rajah 1 (D) membandingkan tahap GLP-1 antara kumpulan YesB dengan NoB. GLP-1 adalah sejenis hormon penting yang mencetuskan pelepasan insulin untuk menurunkan paras glukosa. Dalam kumpulan yang tidak bersarapan, GLP-1 lebih rendah selepas makan tengah hari (-19%) dan makan malam (-16.5%).
Rajah 1 (F) membandingkan paras glukagon antara kumpulan YesB dengan NoB. Glukagon meningkatkan paras glukosa darah. Dalam kumpulan yang tidak bersarapan, paras glukagon lebih tinggi selepas makan tengah hari (+14.8%) dan makan malam (+11.5%). Tahap asid lemak bebas (free fatty acid, FFA) juga meningkat dalam kumpulan NoB, yang seterusnya mengganggu tindakan insulin.1
Tidak Bersarapan Mengurangkan “Fenomena Waktu Makan Kedua”
Dalam rajah 2, kajian Jakubowicz et al. menunjukkan cara sarapan mempersiapkan pankreas untuk mengawal pelepasan insulin dengan lebih baik pada waktu makan berikutnya, seterusnya memastikan kawalan glukosa yang lebih baik sepanjang hari. Pendek kata, tidak bersarapan menyumbang kepada ketidakstabilan paras glukosa darah sepanjang hari.1
Komposisi nutrien sarapan untuk pesakit diabetes
Tidak semua sarapan sama. Jenis makanan yang diambil pada waktu pagi sama pentingnya dengan pengambilan sarapan itu sendiri. Sepertimana yang ditunjukkan dalam rajah 3, kajian oleh Park YM et al. mendapati bahawa sarapan tinggi protein memberikan kestabilan glisemik yang lebih baik berbanding makanan tinggi karbohidrat. Sarapan tinggi protein (garisan hijau) menambah baik respons insulin pada waktu makan kedua berbanding sarapan tinggi karbohidrat (garisan kelabu). Sarapan tinggi protein membantu mengurangkan lonjakan glukosa selepas makan tengah hari. Ini menyokong konsep “fenomena waktu makan kedua” yang mana pengambilan protein sewaktu sarapan menambahbaik respons gula darah pada waktu makan berikutnya.2
Sarapan tinggi protein memainkan peranan penting dalam kesihatan metabolik dengan meningkatkan rasa kenyang, seterusnya membantu mengelakkan pengambilan makanan secara berlebihan sepanjang hari. Ia juga menstabilkan paras gula darah, mengurangkan lonjakan glukosa selepas makan yang boleh menyumbang kepada kebolehubahan glisemik.2
Tidak Semua Protein Sama
Cara sumber protein yang berbeza mempengaruhi gula darah:
Rajah 4 Perbandingan Sumber Protein dengan Paras Gula Darah
Untuk penghidap diabetes, protein dadih susu menjadi pilihan terbaik kerana keupayaannya untuk merangsang pelepasan insulin dengan cepat dan berkesan.3
Diet Diabetes untuk Pradiabetes
Sepertimana yang dibincangkan di atas, sarapan penting dalam menguruskan diabetes sepanjang hari. Ia juga penting dalam menguruskan tanda awal diabetes, terutamanya dengan trend pradiabetes yang kian meningkat di seluruh dunia. Pendekatan sedemikian dapat membantu mencegah diabetes pada peringkat awal pradiabetes.
Gejala Awal dan Pencegahan Diabetes
Pradiabetes lazimnya berkembang dalam senyap dan ia mungkin tidak disedari sepertimana ditunjukkan dalam rajah 5. Hakikatnya, lebih daripada 8 dalam 10 orang yang mengalami pradiabetes tidak menyedarinya. Jika pradiabetes tidak dirawat, sebilangan besar individu ini berisiko menghidap T2D, penyakit jantung atau strok. Berita baiknya, pradiabetes boleh pulih dengan diagnosis awal dan rawatan aktif.4 Tanda awal diabetes boleh muncul sebagai toleransi glukosa terjejas (impaired glucose tolerance, IGT) dan glukosa berpuasa terjejas (impaired fasting glucose, IFG). Pada tahun 2021, dianggarkan terdapat 464 juta orang dewasa (9.1%) yang menunjukkan IGT dan 298 juta orang dewasa (5.8%) yang menunjukkan IFG.5
Prevalens Pradiabetes
Menjelang tahun 2045, IGT diramal meningkat sebanyak 638 juta kes (10.0%) manakala IFG dijangka bertambah menjadi 414 juta kes (6.5%). Prevalens pradiabetes berbeza-beza mengikut rantau. Pada tahun 2021, rantau Amerika Utara dan Caribbean melaporkan prevalens IGT yang tertinggi, manakala Asia Tenggara mencatatkan prevalens IGT yang terendah. Sebaliknya, Asia Tenggara merekodkan prevalens IFG tertinggi manakala rantau Pasifik Barat melaporkan prevalens IFG yang terendah. Perbezaan antara rantau ini menekankan perlunya terapi budaya dan pemakanan khusus rantau.1
Pencegahan Diabetes
Bagaimanakah cara untuk mencegah diabetes? Bagi pesakit yang berisiko, langkah pencegahan diabetes bermula dengan membuat beberapa perubahan gaya hidup yang dapat mengurangkan risiko T2D dengan ketara. Salah satu perubahan sedemikian ialah diet untuk diabetes, bermula dengan sarapan yang terdiri daripada bijirin penuh, lemak sihat dan protein tanpa lemak. Perubahan gaya hidup lain termasuk menurunkan 5% hingga 7% berat badan yang mampu mengurangkan risiko sebanyak separuh. Senaman juga mencegah diabetes. Sebagai contoh, senaman intensiti sederhana selama 150 minit setiap minggu boleh meningkatkan sensitiviti insulin.6
Kesimpulan
Bagi pesakit pradiabetes dan diabetes, tidak mengambil sarapan bukanlah satu tabiat yang remeh—sebaliknya ia membawa kepada risiko yang ketara terhadap fungsi metabolik. Pengambilan makanan pada waktu pagi membantu menyeimbangkan paras gula darah, mencegah rintangan insulin dan merupakan komponen penting dalam pencegahan diabetes. Di samping itu, sarapan berprotein, terutamanya yang diperbuat daripada protein dadih susu, memberi kesan yang besar dalam meningkatkan kawalan glisemik.
Ketahui lebih lanjut tentang Peranan Suplemen, seperti Protein Dadih Susu dalam Pengurusan Diabetes.
Klik Di SiniRujukan:
- Jakubowicz D, et al. Diabetes Care. 2015;38:1820-6.
- Park YM, et al. J Nutr. 2015;145:452-8.
- Jakubowicz D, et al. J Nutr Biochem. 2017;49:1-7.
- Centers for Disease Control and Prevention. CDC. https://www.cdc.gov/diabetes/prevention-type-2/truth-about-prediabetes.html
- Bingham M. Diabetes Care. 2023;46:1314. https://diabetesjournals.org/care/article/46/7/1314/151542/In-This-Issue-of-Diabetes-Care
- Centers for Disease Control and Prevention. CDC. https://www.cdc.gov/diabetes/prevention-type-2/prediabetes-prevent-type-2.html#cdc_generic_section_5-prevent-type-2-diabetes
Artikel bertajuk “Peranan Sarapan Pagi dalam Pengurusan Diabetes” ini menghuraikan tentang peranan sarapan dalam pengurusan glukosa darah. Bukti baharu yang diperoleh daripada Kajian Jakubowicz et al. mengesahkan peranan sarapan dalam mencegah dan menguruskan diabetes. Ketahui cara tidak mengambil sarapan boleh mengganggu paras glukosa darah sepanjang hari pada pesakit pradiabetes atau diabetes. Ketahui juga ramuan dalam sarapan yang sihat dari aspek metabolik untuk pesakit anda.