
Berdasarkan sorotan simposium DNSG 2022 mengenai “Weight Management, Micronutrients and Supplements in Diabetes”1
Artikel ini akan membentangkan beberapa topik yang dibincangkan dalam Simposium Antarabangsa Ke-39 mengenai Diabetes dan Nutrisi. Sorotan artikel ini fokus pada pencegahan dan rawatan diabetes melalui nutrisi dan gaya hidup. Dalam simposium tersebut, penceramah telah membincangkan tentang remisi diabetes melalui penurunan berat badan, intervensi pradiabetes dan peranan nutrisi yang betul untuk menggalakkan kesihatan kardiometabolik.1
1- Penurunan Berat Badan Pesakit Diabetes dan Diet Pradiabetes
Michael Lean
Michael Lean membincangkan cara remisi diabetes boleh dicapai dengan pengurangan berat badan yang mampan menggunakan diet sangat rendah tenaga (very low-energy diet, VLED). Memandangkan penambahan berat badan dan obesiti adalah penyebab utama penyakit diabetes jenis 2 (type 2 diabetes, T2D), mencapai dan mengekalkan berat badan yang sihat adalah penting untuk para pesakit ini. Malah, pengekalan berat badan yang sihat dapat mencapai remisi T2D yang ditakrifkan sebagai HbA1c <48 mmol/mol tanpa ubat pengurangan glukosa selama 6 bulan.2-5 Selain penurunan berat badan pada peringkat awal, pengurusan berat badan juga melibatkan usaha-usaha untuk mengekalkan berat badan yang sihat dan mencegah penambahan berat badan.5
Oleh itu, apakah strategi yang disokong oleh sains untuk mengekalkan berat badan yang sihat bagi pesakit T2D? Lean menekankan rawatan penurunan berat badan berasaskan bukti untuk penghidap T2D dan obesiti. Tinjauan payung meta analisis kajian terkawal dan terawak pada penghidap T2D menunjukkan bahawa VLED (400–500 kcal/hari) dan LED (1,000–1,500 kcal/hari) adalah lebih berkesan untuk penurunan berat badan berbanding diet kawalan (tenaga rendah).6 Kajian DiRECT, yang diketuai oleh Lean dan Roy Taylor, melibatkan 149 orang pesakit yang diberi diet pengganti makanan sepenuhnya (825−853 kcal/hari) selama 3–5 bulan, diikuti dengan pengambilan semula makanan biasa secara berstruktur selama 2−8 minggu. Ubat antikencing manis dan antitekanan darah tinggi telah dihentikan sewaktu kajian bermula tetapi boleh diambil semula sekiranya perlu. Paling ketara, pada bulan ke-12, remisi T2D telah dicapai oleh 46% peserta daripada kumpulan intervensi berbanding 4% daripada kumpulan kawalan (p<0.0001).2 Lean menyatakan bahawa walaupun kajian DiRECT berjaya, VLED sukar dikekalkan. Kunci kejayaan ini terletak pada kerjasama antara pakar kesihatan pengurusan diabetes dan pengurusan berat badan untuk membantu mengekalkan hasil penurunan berat badan itu.
2- Diet Pradiabetes
Jeffrey Mechanick
Berbanding Lean yang fokus pada cara penurunan berat badan yang mampan untuk membantu remisi T2D, Mechanick fokus pada T2D sebagai proses yang berlaku secara beransur-ansur sebelum diagnosis dibuat. Beliau menekankan bahawa T2D perlu ditangani dalam spektrum penyakit, bermula dari pradiabetes hingga kemunculan komplikasi.7 Rintangan insulin, pradiabetes, T2D dan komplikasi kardiovaskular yang berkaitan harus diambil kira sebagai suatu kesinambungan dan bukannya keadaan yang berlaku secara berasingan.1 Ini mencerminkan model penyakit kronik Mechanick yang mana faktor yang mempengaruhi kesihatan iaitu genetik, persekitaran dan sosial telah menyumbang kepada peringkat prapenyakit yang, jika tidak ditangani, boleh membawa kepada komplikasi.10 Oleh itu, intervensi T2D perlu fokus pada pencegahan awal melalui intervensi awal nutrisi dan gaya hidup yang berstruktur. Intervensi awal ini boleh menggunakan formula nutrisi khusus diabetes yang disokong oleh bukti klinikal.8 Akhir sekali, dengan menganalisis metabolom makanan individu, cadangan yang disesuaikan mengikut keperluan peribadi boleh disediakan untuk menyokong kesihatan pada mana-mana peringkat spektrum T2D.1
3- Nutrisi yang Tepat
Simin Liu
Mechanick menekankan pentingnya intervensi nutrisi dan gaya hidup secara berstruktur, tetapi Liu menyiasat lebih lanjut hubung kait antara genetik, diet dan faktor persekitaran untuk kesihatan kardiometabolik.1 Mengapa faktor-faktor ini penting? Kajian Inisiatif Kesihatan Wanita menunjukkan bahawa walaupun pengambilan lemak telah dikurangkan daripada ≥35% kepada 20%, hasil penyakit jantung koronari masih tidak bertambah baik. Ia sebahagiannya berpunca daripada penggantian karbohidrat, yang separuh daripadanya adalah gula.10 Oleh itu, ini menimbulkan persoalan penting: Mengapa sesetengah intervensi pemakanan berkesan untuk individu tertentu tetapi tidak berkesan pada orang lain? Liu memperkenalkan pandangannya—cara gen dan persekitaran kita berinteraksi dengan diet kita untuk mempengaruhi kesihatan kita. Penyelidikan beliau menunjukkan bahawa pendekatan “satu saiz untuk semua” tidak berkesan, dan pemahaman tentang interaksi tersebut dapat membantu menghasilkan pelan nutrisi yang lebih berkesan. Liu menekankan bahawa faktor risiko genetik mesti dinilai dalam konteks persekitaran dan nutrisi, iaitu interaksi gen-diet. Menggunakan analisis genetik, penyelidik kini mampu mengenal pasti beberapa faktor penting yang menjelaskan pelbagai fenotip dalam T2D.11 Sebagai contoh, TRPM6 dan TRPM7 adalah gen pengekod protein yang terlibat dalam pengangkutan magnesium dan dikenal pasti sebagai elemen yang berpotensi meramalkan risiko T2D.12 Pentakrifan mekanisme dan pencetus biologi, dengan sokongan biopenanda, adalah penting dalam proses pencegahan penyakit.
Apakah langkah seterusnya?
Ketahui lebih lanjut tentang strategi remisi diabetes dalam “Bolehkah Diabetes Diubati?”
Rujukan:
- EMJ. Weight management, micronutrients and supplements in diabetes. 2022. https://www.emjreviews.com/wp-content/uploads/2022/08/Weight-Management-Micronutrients-and-Supplements-in-Diabetes.pdf
- Lean ME, et al. Lancet. 2018;391:541–51.
- Lean MEJ, et al. Lancet Diabetes Endocrinol. 2019;7:344–55.
- Wing RR, et al. N Engl J Med. 2013;369:145–54.
- Scottish Intercollegiate Guidelines Network (SIGN). Management of obesity. Edinburgh: SIGN; 2010.
- Churuangsuk C, et al. Diabetologia. 2022;65:14–36.
- Mechanick JI, et al. Endocr Pract. 2018;24:995–1011.
- Mechanick JI, et al. J Am Coll Cardiol. 2020;75:539–55.
- Noronha JC, Mechanick JI. Front Endocrinol (Lausanne). 2022;13:874968.
- Prentice RL, et al. J Nutr. 2019;149:1565–74.
- Shu L, et al. PLoS Genet. 2017;13:e1007040.
- Chacko SA, et al. Am J Clin Nutr. 2011;93:463–73.
Berdasarkan sorotan simposium DNSG 2022 “Weight Management, Micronutrients and Supplements in Diabetes”. Artikel ini akan mengetengahkan beberapa topik yang dibincangkan dalam Simposium Antarabangsa Ke-39 mengenai Diabetes dan Nutrisi. Kami akan membentangkan topik-topik mengenai pencegahan dan rawatan diabetes melalui nutrisi dan gaya hidup. Artikel ini akan membentangkan maklumat terkini tentang remisi diabetes melalui penurunan berat badan, intervensi pradiabetes dan peranan nutrisi yang betul untuk kesihatan kardiometabolik.