Artikel ini menyerlahkan beberapa topik yang dibincangkan dalam European Association for the Study of Diabetes Annual Meeting (EASD) ke-57 dan ke-58.
Simposium EASD 2021 ke-57 membentangkan ekskursi glisemik selepas makan (PPH) sebagai komponen utama dalam kawalan diabetes. Sesi tersebut menekankan tentang gabungan ubat dan pemakanan untuk kawalan glisemik yang optimum.

1. Hiperglisemia Selepas Makan (Postprandial Hyperglycemia, PPH)
Louis Monnier
Monnier memperkenalkan konsep ‘The Ominous Quartet’—empat gangguan glisemik yang mengakibatkan komplikasi kardiovaskular:
- Hiperglisemia kronik/ambien
- Kebolehubahan glisemik (glycaemic variability, GV)
- Ekskursi glukosa selepas makan (PPH)
- Episod hipoglisemik
Hiperglisemia ambien dan hipoglisemia diketahui memberi kesan negatif terhadap kardiovaskular.1-4 Sebagai contoh, pengurangan HbA1c sebanyak 1% dapat merendahkan risiko penyakit kardiovaskular sebanyak 20%. Hipoglisemia juga meningkatkan penggumpalan platelet dan mendorong berlakunya aritmia. HbA1c perlu dikekalkan di bawah 7%, dengan masa dalam julat melebihi 70%. Ambang untuk hipoglisemia ialah 70 mg/dL manakala ambang hipoglisemia teruk di bawah 54 mg/dL.
Walau bagaimanapun, ambang untuk GV dan PPH kekal tidak jelas. Malah, peranan PPH dan GV dalam kesan buruk juga kekal tidak pasti. Monnier menegaskan pentingnya penetapan nilai ambang dan nilai sasaran untuk gangguan glisemik ini (PPH dan GV) bagi pemantauan dan kawalan pesakit yang lebih baik.5-6
Jadi, apakah PPH? Selepas makan, karbohidrat diserap, sekaligus meningkatkan paras glukosa darah. Peningkatan glukosa selepas makan ini berterusan selama 4–5 jam, diikuti oleh tempoh selepas penyerapan (6–8 jam) dan seterusnya keadaan berpuasa (10 jam selepas makan).7 Pada masa yang sama, rembesan insulin menunjukkan trend yang berbeza untuk individu normoglisemia, individu dengan toleransi glukosa terjejas (impaired glucose tolerance, IGT) dan diabetes Jenis 2 (Type 2 diabetes, T2D). Dalam normoglisemia, insulin dirembeskan pada tahap 80-100% berbanding 50-80% dalam IGT dan <50% dalam T2D. Sensitiviti insulin yang berkurangan menyumbang kepada penghasilan glukosa hepatik secara berlebihan, seterusnya menyebabkan hiperglisemia berpuasa dan selepas makan. Glukosa puncak berlaku 30 minit selepas makan dalam normoglisemia tetapi tertangguh sehingga 60–120 minit dalam T2D.8 Kajian menunjukkan paras PPH puncak adalah paling tinggi selepas sarapan kerana glukosa hepatik dihasilkan mengikut rentak sirkadian. Oleh itu, masa yang optimum untuk memeriksa glisemia selepas makan pada pesakit diabetes ialah 1–2 jam selepas sarapan.9,10
2. Pentingnya Menangani PPH
Louis Monnier
Menetapkan ambang untuk ekskursi PPH adalah penting. Hubung kait yang rapat wujud antara HbA1c dengan glukosa puncak selepas sarapan, dengan nilai HbA1c 7% sepadan dengan nilai glukosa puncak ~160 mg/dL. International Diabetes Federation (IDF) mengesyorkan agar bacaan glukosa puncak selepas sarapan dikekalkan di bawah 160 mg/dL untuk mengekalkan HbA1c pada nilai <7%, manakala American Diabetes Association menetapkan ambang pada <180 mg/dL yang sepadan dengan nilai HbA1c <7.5%.9 Monnier mencadangkan syor IDF mungkin lebih baik untuk memastikan kawalan glisemik yang lebih berkesan. Selain itu, dalam kes T2D yang terkawal dengan baik (HbA1c ≤6.8%), PPH menyumbang lebih banyak kepada hiperglisemia keseluruhan, manakala dalam kes diabetes yang tidak terkawal dengan baik, hiperglisemia berpuasa memainkan peranan yang lebih besar.11
Sekarang mari kita lihat GV dengan lebih dekat. Hubung kait positif yang rapat wujud antara perubahan dalam ekskursi PPH dengan GV, dengan kira-kira 50% GV disebabkan ekskursi PPH.11 %GV (sisihan piawai glukosa/purata glukosa) ialah metrik terbaik untuk menilai GV, dengan ambang 36% yang membezakan antara glisemia stabil dengan tidak stabil.12 Walau bagaimanapun, Monnier menyatakan bahawa “kami tidak mempunyai bukti kukuh bahawa GV punca kesan buruk.”
3. Pentingnya Menangani PPH (bersambung)
Bo Ahrén
Ahrén menyerlahkan penemuan kajian Monnier et al. tentang cara PPH menyumbang lebih 60% kepada nilai HbA1c, manakala glukosa plasma berpuasa (fasting plasma glucose, FPG) menyumbang kurang daripada 40%.13 Di samping itu, satu kajian prospektif mendapati bahawa walaupun hanya 64% pesakit dengan FPG <5.5 mmol/L mencapai nilai HbA1c <7%, angka ini meningkat kepada 94% dalam kalangan pesakit dengan PPH <7.8 mmol/L.14 Fakta ini menekankan perlunya usaha menangani PPH dalam mengurangkan nilai HbA1c.
4. Menguruskan Paras Gula Darah melalui Terapi Bukan Ubat
Bo Ahrén
Pengurusan bukan farmakologi untuk PPH yang Tinggi
Ahrén menegaskan bahawa PPH puncak selepas makan dan juga tempoh PPH yang tinggi mesti diatasi. Strategi untuk mengurangkan PPH termasuk melambatkan pengosongan gastrik, mengurangkan rembesan glukagon hepatik dan mengurangkan penyerapan glukosa. Ahrén berkata, “walau bagaimanapun, pendekatan farmakologi tidak memadai; komponen bukan farmakologi juga diperlukan bagi menangani PPH yang tinggi.”
Mari kita teliti bahan semula jadi seperti kulit kayu manis dan beri biru. Walaupun kulit kayu manis telah dikaji untuk mengetahui kesannya terhadap paras gula darah dan berat badan, kajian Cochrane menyimpulkan bahawa tiada bukti yang mencukupi untuk menyokong penggunaannya dalam diabetes.15,16 Begitu juga, beri biru telah dikaji, tetapi ia tidak menunjukkan sebarang kesan terhadap PPH.17
Berdasarkan sorotan simposium EASD 2022 tentang “Implications of Elevated Postprandial Glucose and Nutritional Approaches for Postprandial Glucose Management with a Focus on Whey Proteins”

5. Menguruskan Paras Gula Darah melalui Terapi Bukan Ubat (Sambungan)
Protein Dadih Susu
Bo Ahrén
Protein dadih susu merupakan suplemen makanan yang terbukti secara saintifik untuk T2D disebabkan keupayaannya untuk mengawal PPH. Dalam satu kajian terkawal dan terawak, subjek yang menerima 15 g protein dadih susu sebelum sarapan pagi telah menunjukkan peningkatan Asid Amino Rantai Bercabang (Branched Chain Amino Acid, BCAA) plasma sebanyak dua hingga tiga kali ganda dalam masa 20-40 minit. BCAA bertindak sebagai sekretagog insulin yang berpotensi, seterusnya menurunkan paras PPH. Protein dadih susu juga menggalakkan rembesan insulin melalui rangsangan terus terhadap sel β pankreas, yang mengaktifkan hormon inkretin seperti GLP-1 dan GIP dan merencatkan DPP-4.18
Ahrén membentangkan beberapa kajian klinikal utama yang membuktikan manfaat protein dadih susu dalam T2D:
- Ahrén, dengan kerjasama Jakubowicz, menjalankan kajian klinikal terawak yang mana 15 orang pesakit T2D mengambil 50 g protein dadih susu 30 minit sebelum hidangan sarapan beraneka. Keputusan menunjukkan bahagian di bawah lengkung glukosa berkurang sebanyak 25%, paras glukosa puncak menurun daripada 16 mmol/L kepada 10–11 mmol/L, manakala tahap insulin dan GLP-1 meningkat sekali ganda.19
- Satu lagi kajian pada 2017 yang diketuai oleh Ahrén dan Jakubowicz mengkaji kesan protein dadih susu terhadap 19 orang subjek yang diberi 28 g protein dadih susu 15 minit sebelum sarapan pagi selama 12 minggu. Keputusan menunjukkan pengurangan paras glukosa secara mampan, peningkatan insulin dan rembesan GLP-1 serta penurunan nilai HbA1c dan berat badan.20
6. Ekstrak Morus Alba (Morus Alba Extract, MLE) dan Peranannya dalam Kawalan Glisemik
John L. Sievenpiper
Morus alba L. (MLE) menunjukkan aktiviti perencatan α-glucosidase.21,22 Sievenpiper membentangkan beberapa kajian yang membuktikan manfaat MLE terhadap pesakit T2D. Tiga kajian utama itu ialah:
- Kajian klinikal terkawal rawak dua buta melibatkan 38 individu yang sihat. Peserta ditetapkan secara rawak untuk menerima sama ada 250 mg MLE, yang mengandungi 12.5 mg deoxynojirimycin, atau plasebo, diikuti dengan tempoh pemerhatian selama 2 jam. MLE menurunkan PPH dan respons insulin dengan ketara.23
- Dalam satu lagi kajian pindah silang melibatkan 30 orang pesakit T2D, MLE yang digabungkan dengan 1.75 g serat, 0.75 μg vitamin D3 dan 75 μg kromium menurunkan 3-jam PPH dan respons insulin dalam ujian toleransi hidangan beraneka (mixed meal tolerance test) yang mengandungi 55.4 g karbohidrat.
- Dalam satu kajian klinikal terkawal rawak dua buta yang serupa melibatkan 38 orang dewasa pradiabetes, pengambilan harian 5 g MLE (mengandungi 18 mg deoxynojirimycin) selama empat minggu mengurangkan PPH dan respons insulin terhadap hidangan beraneka.24
Baca Lebih Lanjut tentang Menggalakkan Kesihatan Jantung dengan Diet Diabetes dan Dadih Susu.
Rujukan:
- Nathan DM, et al. N Engl J Med. 1993;329:977–86.
- Stratton IM, et al. BMJ. 2000;321:405–12.
- Gerstein HC, et al. N Engl J Med. 2008;358:2545–59.
- Duckworth W, et al. N Engl J Med. 2009;360:129–39.
- Int Hypoglycaemia Study Group. Diabetes Care. 2015;38:1583–91.
- Int Hypoglycaemia Study Group. Diabetes Care. 2017;40:155–7.
- Monnier L. Eur J Clin Invest. 2000;30:3–11.
- Golay A, Felber JP. Diabetes Metab. 1994;20:3–14.
- Monnier L, et al. Diabetes Care. 2007;30:263–9.
- Boden G, et al. Diabetes. 1996;45:1044–50.
- Monnier L, et al. J Diabetes Complications. 2015;29:451–8.
- Monnier L, et al. Diabetes Care. 2017;40:832–8.
- Monnier L, et al. Diabetes Care. 2003;26:881–5.
- Woerle HJ, et al. Diabetes Res Clin Pract. 2007;77:280–5.
- Sharma S, et al. J Pak Med Assoc. 2020;70:2065–9.
- Leach MJ, Kumar S. Cochrane Database Syst Rev. 2012;(9):CD007170.
- Palma X, et al. Nutrients. 2021;13:1458.
- Jakubowicz D, et al. Diabetologia. 2014;57:1807–11.
- Tel Aviv Univ. NCT01571622. https://clinicaltrials.gov/ct2/show/NCT01571622
- Jakubowicz D, et al. J Nutr Biochem. 2017;49:1–7.
- Gunnarsson PT, et al. Endocrinology. 2006;147:3173–80.
- Nouri M, et al. Diabetes Metab Syndr. 2022;16:102540.
- Thondre PS, et al. Nutr Metab (Lond). 2021;18:52.
- Mohamed M, et al. Diabetes. 2022;71(Suppl 1):41-LB.
Menguruskan paras gula darah melalui terapi bukan ubat boleh dilaksanakan serta disokong oleh sains dan kajian klinikal. Simposium EASD 2021 dan 2022 menyerlahkan cara strategi bukan farmakologi, seperti protein dadih susu dan ekstrak Morus Alba, dapat membantu mengawal glisemia selepas makan. Ketahui lebih lanjut tentang pentingnya menangani PPH dalam diabetes jenis 2 dan penemuan kajian klinikal yang menyokong penggunaan terapi bukan farmakologi dan pemakanan semula jadi. Ketahui lebih lanjut di sini.